Leka punca Red Giants tumbang

No Image Caption
A
A
A

KELEKAAN pemain Selangor FC pada penghujung perlawanan disifatkan punca utama kekalahan tipis 1-2 kepada Kedah Darul Aman (KDA) pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Selasa.

Ketua Jurulatih Selangor FC, Karsten Neitzel berkata, pemain The Red Giants itu dilihat agak keletihan pada tempoh 20 minit terakhir yang dimanfaatkan pelawat untuk menjaringkan gol penyamaan diikuti gol kemenangan perlawanan.

“Pada perlawanan ini saya boleh lihat semua pemain beraksi cukup baik dan kami boleh menjaringkan lima hingga enam gol separuh masa pertama.

“Malah kami turut berjaya menjaringkan gol pembukaan menerusi Oliver Buff pada minit-33, namun saya kecewa dengan keputusan akhir perlawanan kerana kita tewas 1-2.

“Bagaimanapun, saya tetap memberikan pujian kepada pemain yang beraksi dengan baik kali ini dan diharapkan momentum itu berterusan pada perlawanan akan datang,” katanya.

Dalam perlawanan itu, Buff membuka jaringan buat Red Giants pada minit ke-33, namun penyerang import KDA, Kpah Sherman menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti minit ke-79 sebelum Kipre Tchetche menjaringkan gol kedua pada minit ke-85 untuk memastikan kemenangan.

Selepas tujuh perlawanan Selangor FC kini mengumpul lapan mata hasil dua kemenangan, dua seri dan tewas tiga kali daripada tujuh perlawanan.

Dalam pada itu, Neitzel menegaskan pihaknya akan melakukan post mortem mengenai kekalahan tuan rumah walaupun beraksi baik pada perlawanan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Kita akan lakukan analisa terhadap perlawanan ini dan melihat bagaimana kita boleh tewas walaupun beraksi dengan baik,” katanya.