Bila drama politik akan berakhir?

No Image Caption
A
A
A

BARU sahaja Covid-19 kembali stabil, tidak semena-mena awal pagi Rabu, media melaporkan tentang satu rakaman video dan audio didakwa mirip suara dua pimpinan parti politik.

Rakaman suara yang dipercayai milik Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa berkisar ucapan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO yang lepas,Petikan audio tersebut antara lain menegaskan bahawa UMNO tidak akan menerima Anwar, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Itu gosip paling terkini membabitkan Anwar.

Jika kita teliti pada awal Mac lalu, Anwar dalam satu sidang media mendakwa Perikatan Nasional (PN) memancing lima ahli Parlimen parti itu untuk keluar dan menyokong kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Lima wakil rakyat itu ialah M Karuppaiya (Padang Serai), S Kesavan (Sungai Siput), Awang Husain (Putatan), Michael Teo Yu Keng (Miri), dan Natrah Ismail (Sekijang). Tidak lama kemudian, kontroversi mengenai isu berkenaan sepi begitu sahaja.

Mengimbau kejadian pada September tahun lalu, Anwar kembali menguasai dada akhbar tentang dakwaan beliau mempunyai majoriti yang kukuh dan meyakinkan iaitu hampir dua pertiga kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan.

Anwar mendakwa, sokongan ahli Parlimen itu datangnya daripada pelbagai parti termasuk yang berpihak kerajaan sedia ada, namun enggan mendedahkan jumlah ahli Parlimen yang menyokongnya.Malah, beliau berjaya mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah walaupun perjumpaan tersebut terpaksa ditangguhkan kerana Seri Paduka Baginda menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Bukan menuduh, bukan menebak isu yang dicipta sang penglipur lara. Namun, persoalan besar sekarang, sampai bila drama politik ini akan berakhir?

Bilakah pemimpin-pemimpin Malaysia akan menunjukkan sahsiah yang baik untuk memudahkan rakyat lebih menghormati mereka. Maka, benarlah peribahasa dahulu kala iaitu kepimpinan melalui tauladan.

Artikel Berkaitan: