UMNO lebih kuat tanpa Kluster Mahkamah

No Image Caption
A
A
A

NOTIS muflis Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk Datuk Seri Najib Tun Razak menghangatkan lagi spekulasi bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan ‘menyelesaikan Kluster Mahkamah’ UMNO sebelum Ogos, tempoh beliau menjanjikan penamatan darurat.

Terdapat dua penghitungan dalam spekulasi itu. Pertama, Kluster Mahkamah adalah puak yang paling anti-Bersatu dalam UMNO. Kedua, Najib nampaknya telah kembali popular dan berpotensi menjadi semula calon Perdana Menteri UMNO. Ikut andaian itu, jika Kluster Mahkamah meringkuk dalam penjara, UMNO akan berdamai dengan Bersatu.

Sememangnya Muhyiddin akan untung jika kes-kes Kluster Mahkamah diselesaikan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Beliau akan nampak seperti mendiang Presiden Kim Young-sam (Korea Selatan) yang melihat Presiden Chun Doo-hwan dan Presiden Roh Tae-woo disabit kesala-han rasuah dan pengkhianatan (kerana melancarkan rampasan kuasa) dan dipenjarakan di bawah pemerintahannya. Seperti di Malaysia, Kim berkuasa dengan sokongan Roh dan Chun pada mulanya.

Jika berjaya menjadi 'Kim Young-sam’ Malaysia, Muhyiddin boleh meuar-uarkan kejayaan beliau menghukum kleptokrat, alasan pembentukan Bersatu. Hilanglah alasan utama Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menuduh beliau melepaskan perasuah agung.

Akan tetapi, hilangnya Kluster Mahkamah tidak akan membawa UMNO kembali bekerjsama dengan Bersatu, sebaliknya UMNO akan berpeluang melakar penjajaran baharu dalam imej dan posisinya.

Persengketaan antara UMNO dan Bersatu ‘ditakdirkan’ seperti dua orang adik-beradik yang sukakan gadis yang sama, pengundi Melayu nasionalis. Kedua-dua parti ingin memaksimumkan kerusi Parlimen/Dewan Undangan Negeri (DUN) dan segala jawatan politik yang boleh direbut, bukan sahaja menteri tetapi juga jawatan lumayan di GLC sampai ke jawatan akar umbi di kampung. Malah, jika berjaya menghapuskan Bersatu selepas PRU15, UMNO akan bersaing dengan dua parti serpihannya yang lain, Pas di kanan (lebih kuat agama) dan PKR di kiri (lebih majmuk) yang pasarannya juga bertindih dengan UMNO, cuma tidak setinggi darjah pertindihan jika berbanding Bersatu.

Tumbang

Oleh itu, tumbangnya Kluster Mahkamah tidak bermakna naiknya Kluster Kabinet yang akan menjadikan UMNO pengikut kepada Bersatu, sepertimana dahulunya MCA dan MIC kepada UMNO.

Artikel Berkaitan:

Yang akan naik adalah kuasa ketiga yang mungkin boleh digelar ‘Kluster Tanpa’ kerana mereka tanpa kes mahkamah dan juga tanpa jawatan persekutuan.

Kluster yang terbesar ini merangkumi pemimpin parti kebangsaan dan pemimpin kerajaan negeri seperti Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Datuk Saarani Mohamad, Datuk Hasni Mohammad, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob dan Shahril Sufian Hamdan.

Tanpa kes mahkamah, UMNO di bawah pimpinan baharu tidak terdesak untuk jatuhkan Muhyiddin secara serta-merta. Mereka hendak maksimumkan bilangan kerusi UMNO supaya boleh menjadi rakan kongsi kanan dalam kerajaan campuran baharu selepas PRU15. Mereka sabar menunggu sehingga wabak Covid-19 surut kerana masa tambahan boleh dimanfaatkan untuk membina imej dan posisi baharu UMNO.

Untuk naik semula, UMNO ada dua halangan. Pertama, wacana ‘perpaduan ummah’ yang membolehkan serangan oleh Bersatu dan Pas, manakala kedua, imej parti rasuah pimpi-nan Bossku. Serangan atas Kluster Mahkamah boleh jadi bola tanggung oleh Bersatu yang dinanti-nantikan oleh ‘Kluster Tanpa’.

Dari Tanjung ke Chankat

Tangkap ikan petik salak

Parti bersih parti diangkat

Parti rasuah parti ditolak

*Profesor Wong Chin Huat ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen