PH akan tangani isu berbangkit jika menang

Muhyiddin Yassin. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Muhyiddin Yassin. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KAJANG - Projek pembangunan serta perkara-perkara berbangkit di kawasan DUN Semenyih akan dapat diteruskan dan ditangani sekiranya PH kekal dipilih rakyat pada PRK DUN Semenyih 2 Mac depan.

Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sekiranya calon PH, Muhammad Aiman Zainali dipilih, beliau lebih mudah menjalankan tugas menyuarakan hasrat penduduk dan seterusnya kerjasama pemimpin di peringkat negeri serta persekutuan yang ditadbir kerajaan PH.

Beliau yang juga Bersatu berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa isu dibangkitkan penduduk di kawasan DUN berkenaan, yang memerlukan perhatian, antaranya isu kesesakan lalu lintas, sistem pengangkutan awam, kawasan berdekatan sungai yang sering dilanda banjir, serta masalah kesesakan klinik-klinik kesihatan dan Hospital Kajang kerana pertambahan penduduk.

"Calon kita akan menemui pengundi. Isu-isu berbangkit ini, kalau dia tidak terpilih, kita tidak boleh buat apa-apa. Kita kenal pasti masalah dihadapi pengundi untuk diberi perhatian," katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon PRK DUN Semenyih di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata selain isu tempatan, PH juga akan menerangkan mengenai pelbagai isu nasional seperti kos sara hidup dan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) serta langkah yang diambil kerajaan bagi menangani masalah berkenaan.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Muhammad Aiman, 30, dilihat diterima baik umum dan komited membantu Semenyih menjadi kawasan pembangunan yang maju.

PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon PH, Muhammad Aiman dengan calon Barisan Nasional (BN) Zakaria Hanafi; Nik Aziz Afiq Abdul dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan seorang calon bebas Kuan Chee Heng.

Pilihan raya kecil itu merupakan PRK keenam diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Oktober) dan Parlimen Cameron Highlands (26 Jan).

Artikel Berkaitan:

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada Bersatu yang mewakili PH pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung. - Bernama