Kepentingan vaksinasi nasional

No Image Caption
A
A
A

ANTARA perkara yang menjadi persoalan ramai rakyat di luar sana terutama mereka yang menghadapi pelbagai musibah sejak negara ini dilanda pandemik Covid-19 adalah mengenai peranan vaksin dalam memutuskan rantaian wabak penyakit dan mengurangkan kadar kematian.

Sejauh mana vaksin tersebut berkesan dan tidak seperti yang dituduh oleh kumpulan anti-vaksin adalah antara isu yang memerlukan penjelasan pihak berwajib.

Pihak kerajaan perlu memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan vaksin dan membetulkan salah tanggapan terhadap vaksin ini. Paling penting untuk pihak kerajaan membincangkan mengenai kesan atau impak vaksin terhadap ekonomi negara. Isu-isu ini penting untuk dijawab dan diulang siaran.

Pandemik Covid-19 yang pertama kali sampai ke persisiran pantai kita pada 25 Januari 2020 masih lagi mengganas dan tidak menunjuk sebarang tanda akan reda dalam masa terdekat.

Bayangkan, sejak 25 Januari 2020 dengan hanya 22 kes positif ketika itu, ia meningkat 20 kali ganda menjadi 428 kes dalam bulan Mac 2020.

Setakat 3 April 2021, tarikh penulis menulis artikel ini, selepas kita melalui lebih setahun dan 17 hari hidup dalam pelbagai jenis PKP (Bersyarat/Pemulihan dan sebagainya), jumlah kes positif keseluruhan adalah sebanyak 349,610 kes. Jumlah kematian setakat ini sebanyak 1,286 kes, manakala jumlah kes masih aktif 14,432 kes. Selebihnya semua telah sembuh. Setakat ini juga lebih kurang 600,000 orang telah mendapat vaksin.

Jika dilihat impak dari segi sosioekonomi terutama terhadap kehidupan masyarakat dari segi pekerjaan, pendapatan terutama mereka yang bekerja di sektor informal, saya hanya mampu untuk berdoa agar mereka diberi kekuatan dan keluarga mereka berada dalam peliharaan Tuhan.

Secara rambang, apabila saya melihat data daripada Jabatan Statistik, saya makin menjadi risau. Kadar pengangguran meningkat kepada 4.9 peratus dalam Januari 2021 tetapi kadar itu lebih tinggi pada Mei 2020 iaitu sekitar 5.3 peratus. Kita harap ia akan terus menurun selepas ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam satu jadual berkaitan satu kajian yang melihat pattern dalam tenaga buruh di Malaysia hari ini, di-dapati mereka yang bekerja sendiri berjumlah hampir 2.7 juta orang. Ia bersamaan 18 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga buruh dalam negara. Ramai daripada mereka berada dalam kedudukan yang sangat vulnerable.Baru-baru ini saya berkesempatan berbincang dengan tiga orang pakar dalam satu webinar, anjuran Institut Kajian Etnik (KITA), UKM dan Institut Kajian Dasar (IKD) cara mana yang dapat kita yakinkan rakyat bahawa program vaksinasi nasional akan dapat membantu kehidupan seharian kita selepas ini.

Tiga orang ahli panel dalam webinar tersebut ialah Profesor Datuk Dr A Rahman Jamal, seorang profesor dalam bidang hematologi pediatrik, onkologi dan biologi molekul di UKM, Profesor Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid pula ialah professor dalam ekonomi kesihatan dan Dr Vivien Yew mempunyai PhD dalam bidang antropologi perubatan dan sosiologi.

Perbincangan dalam webinar tersebut sangat menarik dan menjawab banyak persoalan. Penulis mencadangkan untuk membaca mengikuti webinar itu yang boleh dicapai di https://www.facebook.com/InstitutKajianEtnikUKM/videos/285508886438799/Di penghujung webinar, penulis membacakan sebuah sajak yang antara lain memberi gambaran bagaimana seorang penarik beca yang pulang ke rumah tanpa pendapatan kerana tidak ada pelancong yang menaiki becanya semasa PKPB.

Jiran di sebelah rumahnya, seorang peniaga di pasar memberikan sayur-sayur yang tidak laku dijual kerana tiada pembeli yang pergi ke pasar. Ji-ran di hadapan rumahnya sedang memperingati 40 hari pemergian anak mereka, seorang doktor muda yang menjadi kebanggaan dan harapan kampung mereka yang mati akibat Covid-19.

Gambaran itu sekiranya tidak ditangani segera akan menjadi masalah lebih besar kepada rakyat Malaysia. Semoga ALLAH SWT melindungi dan merahmati kita.

Selamat menyambut Ramadan-al-mubarak

* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff adalah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM