'Umpama beruk keluar zoo, masuk bandar'

Keadaan kemudahan yang rosak akibat sikap tidak bertanggungjawab.
Keadaan kemudahan yang rosak akibat sikap tidak bertanggungjawab.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Beruk masuk bandar ke? Itu antara persoalan dibangkitkan seorang netizen di ruangan komen Facebook Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang berkongsi beberapa kerosakan harta benda awam akibat vandalisme.

Unit Media DBKL menerusi kemas kini pada Rabu dengan tajuk 'Hargai Harta Awam' memaparkan beberapa contoh kemudahan awam yang telah dirosakkan.

"Lagi kejadian musnah laku dikesan terhadap perabot jalan di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur berhampiran pusat beli belah Sogo dan Jalan Ampang.

"Tindakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja merosakkan harta awam tetapi juga mencacatkan keindahan yang sedang giat dipertingkatkan di pusat bandar ini," menurut kenyataan di Facebooknya pada Rabu.

Menurutnya, kerosakan tersebut bukan sahaja mencacatkan pandangan tetapi turut melibatkan kos untuk baik pulih yang dianggap satu kerugian yang sia-sia.

"Perabot-perabot jalan ini direka sedemikian rupa bukan sahaja atas reka bentuk seni tetapi berperanan membantu pejalan kaki berhenti seketika bagi melepaskan lelah.

"Ia direka sedemikian rupa bagi menyesuaikan nilai estetika sesuatu kawasan tersebut. Letak duduknya untuk menghalang kenderaan daripada menaiki kawasan siar kaki dan pada masa yang sama boleh diguna pakai oleh pejalan kaki sebagai tumpang istirehat.

"Oleh itu, hargailah harta awam...sayanginya kerana ia adalah milik kita bersama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, ada juga yang menyamakan tindakan merosakkan harta benda awam itu seperti beruk baru keluar daripada zoo.

Ada juga yang mencadangkan supaya lokasi tersebut dipasang rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau dan menangkap pelaku.