Tak jejas sokongan padu terhadap Red Giants

Mohd Sadek
Mohd Sadek
A
A
A

STATUS Selangor FC sebagai antara kuasa besar bola sepak tanah air sejak beberapa dekad lalu tidak akan menjejaskan sokongan padu peminat dan penyokong The Red Giants untuk kembali menggamatkan stadium walaupun harga tiket kelab yang berpangkalan di Lembah Klang itu naik sehingga RM30.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa berkata, 'pemain ke-12' The Red Giants seharusnya memahami dan terus memberikan dokongan dalam memastikan Selangor terus memberi tentangan sengit kepada gergasi Liga-M, Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Penyokong-penyokong setia kecuali penyokong yang hanya datang menyokong pada perlawanan final Piala FA atau Piala Malaysia, tidak seharusnya mempersoalkan isu-isu survival kelab masing-masing dengan kenaikan harga tiket pada era norma baharu ini.

“Mereka yang menonton perlawanan di stadium perlu mempunyai niat membantu survival kelab pada masa depan kerana tanpa kenaikan harga tiket secara tidak langsung meletakkan kelab dalam keadaan kerugian, sekali gus mendedahkan kelab kepada tindakan undang-undang dalam isu pembayaran gaji.

“Sekiranya ingin memastikan Selangor tidak tenggelam pada saingan Liga Super penyokong tegar The Red Giants perlu hadir ke stadium selepas kebenaran dibenarkan oleh kerajaan.

“Saya berharap penyokong-penyokong yang tulen dapat hadir ke stadium dengan limitasi semasa yang terpaksa diharungi kelab-kelab masing-masing berikutan impak pandemik Covid-19 ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Mohd Sadek berkata demikian ketika mengulas kenaikan harga tiket sebanyak RM30 bagi perlawanan Liga Super melibatkan pertemuan Selangor menentang Kedah di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Selasa.

Untuk rekod, sebanyak 2,000 tiket dijual pada perlawanan itu.

Artikel Berkaitan:

Mohd Sadek berkata, kenaikan harga tiket kelab saingan Liga-M tidak dapat dielakkan sesuai dengan norma baharu bola sepak negara yang mula menerima kehadiran semula penyokong ke stadium.

Menurutnya, era Covid-19 merupakan cabaran kepada setiap kelab Liga-M dalam menjana semula pendapatan setelah kerajaan memberikan kebenaran kepada penyokong masing-masing kembali semula ke stadium dengan kuota serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

“Dengan limitasi terhad sebenarnya banyak cabaran kepada kelab Liga-M kerana mereka tidak mempunyai ruang bernafas seperti dulu apatah lagi kelab tidak dapat lari daripada menampung kos luar biasa dengan suasana norma baharu. Kos seperti gaji pemain-pemain yang tidak berkurangan biarpun penonton dibenarkan kembali ke stadium dalam kuota terhad.

“Aspek penajaan kelab juga berdepan dengan kekangan yang agak besar dalam mendapatkan penaja yang berwibawa. Itu belum lagi dengan penjualan merchandise juga terhad kerana penonton-penonton Liga-M adalah dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Harus diingat bahawa kebanyakan penonton Liga-M adalah dalam kalangan kategori B-40, sekiranya mereka yang beli tiket secara online, mereka adalah golongan premium yakni golongan yang mampu membeli tiket pada harga mahal,” katanya.