JaPen cadang tubuh yayasan tangkis serangan burukkan industri sawit, getah

Zahidi (tengah) melancarkan Program My Halal TV di Damansara Jaya sempena Majlis Pengisytiharan 2021-2022 Tahun Kesedaran Halal di Damansara Utama di sini pada Rabu.
Zahidi (tengah) melancarkan Program My Halal TV di Damansara Jaya sempena Majlis Pengisytiharan 2021-2022 Tahun Kesedaran Halal di Damansara Utama di sini pada Rabu.
A
A
A

PETALING JAYA – Jabatan Penerangan (JaPen) akan menggerakkan sebuah yayasan khusus untuk menangkis sebarang serangan pihak luar yang memburukkan industri kelapa sawit dan getah negara.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, negara-negara Eropah termasuk Amerika Syarikat (AS) bukan sahaja mengenakan sekatan terhadap import produk sawit tetapi turut menyebarkan pelbagai dakyah tidak benar mengenai industri berkenaan.

Beliau berkata, antara program JaPen ialah menerangkan semula dasar dan ekonomi Malaysia.

“Mereka mengenakan sekatan di antaranya EU (Kesatuan Eropah) kata kita tidak mengimbangi oksigen dan karbon dioksida, menjalankan penebangan hutan dan menganiaya binatang.

“Justeru kita perlu menerangkan semula kepada mereka bahawa perkara itu tidak betul. Begitu juga dengan AS menyekat minyak sawit kita kerana mendakwa menganiaya pekerja asing,” katanya pada Rabu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Besar berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Program My Halal TV di Damansara Jaya sempena Majlis Pengisytiharan 2021-2022 Tahun Kesedaran Halal di Damansara Utama di sini.

Mengulas lanjut, Zahidi memaklumkan yayasan yang bakal diwujudkan itu akan memfokuskan kebaikan industri sawit dan getah untuk dipromosi di luar negara.

Menurutnya, usaha untuk menyebarkan maklumat yang sahih menjadi sebahagian daripada tanggungjawab jabatan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Artikel Berkaitan:

“Kita sedang berusaha mewujudkan yayasan bagi mempromosi sawit dan getah untuk meningkatkan industri tersebut.

“Jadi antara usaha kita ialah membuat video pendek yang berkaitan untuk menerangkan semula perkara itu menggunakan bahasa mereka," katanya.