Cadang tiga sektor utama pelaburan untuk belia D-8

Menteri Luar,Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semasa Sesi Mesyuarat Majlis Menteri-Menteri D-8 Ke-19 yang diadakan secara maya pada Rabu, menjelang Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) Ke-10 yang akan diadakan esok. - Foto Bernama
Menteri Luar,Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semasa Sesi Mesyuarat Majlis Menteri-Menteri D-8 Ke-19 yang diadakan secara maya pada Rabu, menjelang Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) Ke-10 yang akan diadakan esok. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein membentangkan tiga bidang utama kepada Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Kumpulan Lapan Negara Membangun (D8) yang mesti dilabur untuk belia bagi memastikan kemajuan golongan ini pasca-Covid-19.

Dalam kenyataan pada sesi Mesyuarat Majlis Menteri-Menteri D-8 Ke-19 yang diadakan sebelum Sidang Kemuncak D-8 ke-10 pada Khamis beliau berkata, tiga bidang itu ialah memperkasa pendidikan dalam talian, meningkatkan inovasi dagangan digital serta menggalakkan perjalanan rentas sempadan yang selamat.

Hishammuddin berkata, tema Sidang Kemuncak kali ini, 'Partnership for a Transformative World: Harnessing the Power of Youth and Technology' amat tepat pada masa, menyediakan pendekatan baharu untuk kumpulan itu pulih daripada era pasca pandemik.

Melalui 555 juta orang beliau berkata, belia adalah golongan penting dalam populasi D-8 dan justeru perkumpulan itu mesti bergerak pada hala tuju baharu bagi memperkasa generasi akan datang serta kekal bersaing dan serta apa yang lebih penting, adalah relevan.

"Ketika ekonomi masih merangkak untuk pulih dan ramai terpaksa berdepan dengan lebihan tenaga kerja, golongan belia terpaksa meneroka media sosial untuk memulakan perniagaan digital mereka sendiri," katanya dalam kenyataan dikeluarkan Wisma Putra di sini pada Rabu.

“Di seluruh dunia, kita dapat melihat bagaimana belia menyalurkan kreativiti mereka untuk memulakan perniagaan kecil masakan di rumah dalam talian, membuat pelitup muka guna semula atau beralih kepada ekonomi gig, terutama dalam perkhidmatan penghantaran dan e-hailing bagi mendepani cabaran ekonomi," katanya.

Mengulas mengenai pendidikan dalam talian, Hishammuddin berkata D-8 mesti mengakui bahawa pandemik memberi kesan buruk terhadap persekolahan dan pengajian institusi pengajian tinggi, dengan ramai pelajar terpaksa berdepan kesukaran menyempurnakan pengajian mereka selain terpaksa menerima kaedah pembelajaran dalam talian sebagai norma baharu.

“Bagi Malaysia, kami melipat gandakan usaha dengan memperuntukkan AS$12.7 bilion (RM52.47 bilion) untuk mengukuh dan menaik taraf prasarana teknologi bagi menyediakan akses digital lebih menyeluruh untuk generasi muda menerusi inisiatif Rangkaian Digital Kebangsaan."

Artikel Berkaitan:

Dalam perniagaan digital, beliau berkata Covid-19 menghidangkan peluang untuk golongan belia menceburkan diri dalam dunia perniagaan atau memiliki perniagaan sendiri.

Untuk aspek memupuk pelancongan rentas sempadan selamat, Hishammuddin mengetengahkan inisiatif Malaysia dalam memperkenalkan Pusat Sehenti untuk memudahkan pelancong perniagaan dan pelabur di semua pintu masuk antarabangsanya.

Beliau berkata, Malaysia antara negara paling awal memperkenalkan program ini bagi menyediakan sistem sokongan yang lancar kepada ahli perniagaan yang melancong untuk tempoh singkat termasuk laluan ekspres protokol kesihatan dan keselamatan dengan penekanan terhadap keselamatan pelancong terbabit serta yang berhampiran mereka.

“Bagaimanapun, ia tidak memadai. Dalam merealisasikan Inisiatif Sektor Swasta D-8, kita mesti menimbang untuk meneroka kemungkinan secara beransur-ansur dan selamat membuka sempadan kita menerusi langkah membentuk 'koridor pelancong'.

“Dengan bekerjasama rapat untuk membentuk 'gelembung' dengan menggunakan protokol dan prosedur kesihatan yang kukuh, kita mampu menyediakan lonjakan yang amat diperlukan bagi memperkasa ekonomi kita," katanya.

Ketika negara anggota sedang melaksanakan pelan vaksinasi kebangsaan masing-masing, menteri itu menekankan bahawa mereka mesti bekerja ke arah mengiktiraf sijil vaksin setiap negara anggota bagi memudahkan pelancongan pada masa depan.

“Pengiktirafan timbal balas Sijil Vaksinasi Covid-19 menawarkan cara untuk individu membuktikan mereka sudah pun disuntik dengan vaksin Covid-19," kata Hishammuddin.

Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Lapan Negara Membangun D-8 adalah pertubuhan untuk pembangunan kerjasama dalam kalangan negara anggota iaitu Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turki. - Bernama