'Janji' Tatmadaw kepada rakyat Myanmar

Kumpulan antijunta menunjukkan simbol hormat tiga jari sambil melaungkan slogan menuntut demokrasi ketika demonstrasi di daerah Dawei. - Foto: AFP
Kumpulan antijunta menunjukkan simbol hormat tiga jari sambil melaungkan slogan menuntut demokrasi ketika demonstrasi di daerah Dawei. - Foto: AFP
A
A
A
YANGON - Angkatan Tentera Myanmar (Tatmadaw) memberi bayangan pemerintahan awam di negara itu mungkin akan dikembalikan semula dalam tempoh dua tahun lagi walaupun siri protes antirampasan kuasa masih berterusan hingga kini.

“Dalam tempoh setahun, pemerintah junta tentera akan cuba menstabilkan negara itu. Tetapi, jika usaha itu gagal, kami akan melanjutkan tempoh darurat kepada enam bulan lagi.

“Jika tiada sebarang perubahan, perintah darurat itu hanya akan disambung lagi selama enam bulan,” ujar jurucakap Tatmadaw, Brigadier Jeneral, Zaw Min Tun merujuk kepada tempoh maksimum yang dibenarkan seperti terkandung dalam Perlembagaan digubal tentera pada 2008.

Menurutnya, dua tahun adalah tempoh maksimum Tatmadaw akan memegang kuasa sebelum ia akan menjemput wakil antarabangsa bagi memantau pilihan raya secara bebas dan adil seperti yang dijanjikan ketika insiden kerajaan awam digulingkan pada 1 Februari lalu.

Dalam perkembangan lain, sebuah kumpulan mewakili kerajaan awam Myanmar yang digulingkan pada Rabu mendakwa ia berjaya mengumpulkan bukti pelanggaran hak asasi dilakukan pemerintah junta tentera termasuk penyeksaan dan pembunuhan di luar bidang kehakiman.

Jawatankuasa untuk Mewakili Pyidaungsu Hluttaw (CRPH) sebuah kumpulan terdiri daripada anggota Parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi menyatakan peguam mereka akan bertemu dengan penyiasat PBB bagi membincangkan tindakan kekejaman yang dilakukan Tatmadaw.

“CRPH menerima 180,000 bukti yang menunjukkan pelanggaran hak asasi secara meluas sejak insiden rampasan kuasa pada 1 Februari lalu,” ujar kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Ia termasuk lebih 540 pembunuhan di luar bidang kehakiman, 10 kematian tahanan, penderaan, penahanan secara haram dan tindakan kekerasan melampau terhadap penunjuk perasaan yang melakukan demonstrasi secara aman.

Sementara itu, Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik (AAPP) mendakwa lebih 580 penunjuk perasaan termasuk hampir 50 kanak-kanak terbunuh dan lebih 2,700 individu ditahan sejak siri protes prodemokrasi itu dilancarkan. - Agensi
Artikel Berkaitan: