Penuntut kolej maut kemalangan

Kemalangan menyebabkan mangsa yang juga merupakan penuntut sebuah kolej swasta maut di lokasi kejadian.
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penuntut kolej swasta maut selepas kenderaan dinaikinya terbabas dalam kejadian di Jalan Klang Lama susur keluar ke Lebuhraya Persekutuan, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi, mangsa S S Sachdevf Singh berusia 22 tahun disahkan maut di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkifly Yahya berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa yang menaiki kereta jenis Proton Waja bersama dua rakannya dalam perjalanan dari arah pusat bandar.

"Kereta yang dipandu rakan mangsa berusia berusia 22 tahun itu dikatakan telah hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar kon pembinaan.

"Kereta terbabit kemudiannya memasuki jalan susur Klang lama dan terbalik sebelum sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi yang datang dari arah Klang Lama merempuh kenderaan mangsa," katanya.

Beliau berkata, kemalangan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di kepala dan telah meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, dua rakan mangsa masing-masing mengalami kecederaan ringan.

"Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian. Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.