X

Kindly register in order to view this article
!

Kes SRC: Keterangan bekas CEO YR1M bersifat dengar cakap

Gambar hiasan.
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan pada Rabu dimaklumkan bahawa keterangan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) Ung Su Ling bahawa ketua setiausaha sulit Datuk Seri Najib Tun Razak telah meminta untuk menyelaras pemindahan RM42 juta ke dalam akaun bank bekas Perdana Menteri itu adalah bersifat dengar cakap dan tidak boleh diterima.

Peguam Harvinderjit Singh berkata, keterangan itu boleh dipertikai kerana arahan yang kononnya diterima oleh Ung daripada Allahyarham Datuk Azlin Alias antara Disember 2014 dan Februari 2015 dalam bentuk mesej di aplikasi WhatsApp tidak dikemukakan kepada mahkamah.

Azlin meninggal dunia dalam nahas helikopter terhempas pada 4 April 2015.

"Yang Arif, ketika disoal balas, Su Ling berkata, dia bertindak memadam mesej itu dan melupuskan telefon terbabit kerana ingin 'menghapuskan memori yang menyakitkan," kata Harvinderjit ketika berhujah di hadapan panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang mendengar rayuan Najib terhadap sabitan serta hukuman bagi pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Beliau juga berkata, hakim yang mendengar perbicaraan kes itu, Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam keputusannya bergantung kepada keterangan Su Ling mengenai perbualan saksi tersebut dengan Azlin untuk mengaitkan Najib dalam kes tersebut.

"Secara ringkas, penjelasan Ung dalam konteks pendidikan, latar belakang dan kalibernya adalah tidak masuk akal. Beliau bukan orang hulu. Beliau seorang peguam dan berpengalaman dalam bidang korporat.

"Beliau memberi keterangan bahawa kononnya beliau menerima arahan daripada Azlin menerusi WhatsApp namun telah memadamnya selepas mengetahui Azlin telah meninggal dunia pada 4 April 2015. Bagaimanapun selepas itu, beliau mengaku bahawa pada 4 April 2015, beliau tahu mengenai kontroversi yang menyelubungi SRC.

Peguam itu juga berkata, jika betul arahan itu adalah daripada Azlin, Su Ling sudah pasti akan menyimpan mesej tersebut untuk melindungi dirinya.

Beliau berkata penjelasan Su Ling bahawa saksi itu telah bertindak memadam mesej serta membuang telefon terbabit amat meragukan dan secara keseluruhannya begitu luar biasa.

Pada 28 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan membabitkan RM42 juta dana SRC International.

Pendengaran rayuan itu bersambung esok. -Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!