Cheng Hoe lega MFL jadual baharu MFL

Pindaan terhadap jadual Liga Super dan Liga Premier yang diumumkan MFL secara tidak langsung membolehkan skuad Harimau Malaya melakukan persiapan awal menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023 di UAE, Jun depan.
Pindaan terhadap jadual Liga Super dan Liga Premier yang diumumkan MFL secara tidak langsung membolehkan skuad Harimau Malaya melakukan persiapan awal menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023 di UAE, Jun depan.
A
A
A

PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui lega pindaan jadual terbaharu Liga Malaysia (Liga-M) dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sekali gus membolehkan skuad kebangsaan melakukan persiapan awal menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jun depan.

Menurut Cheng Hoe, beberapa pindaan yang dilakukan MFL itu memberikan ruang dan masa yang lebih kepada skuad kebangsaan membuat persediaan untuk berdepan baki tiga perlawanan penting berdepan UAE, Vietnam dan Thailand bagi saingan Kumpulan G.

“Semua tahu yang pencabar lain seperti UAE, Vietnam dan Thailand telah melakukan persiapan yang cukup rapi di mana ada yang telah menghentikan saingan liga domestik bagi memberikan lebih ruang kepada persiapan pasukan kebangsaan mereka.

“Untuk itu, saya berasa cukup gembira dengan kerjasama diberikan semua pihak yang faham mengenai kepentingan sukan negara. Terima kasih MFL dan semua kelab Liga Malaysia atas kerjasama yang diberikan ini.

“Terima kasih juga kepada semua kelab kerana memahami dan memberikan kerjasama untuk pindaan jadual ini yang mana ia sudah tentu akan memberikan lebih masa kepada skuad Harimau Malaya menjalani kem latihan pusat bagi persiapan menghadapi tiga perlawanan kelayakan yang cukup penting ini,” katanya pada Rabu.

Berdasarkan jadual dikeluarkan itu, perlawanan ke-11 dan ke-12 Liga Super dan Liga Premier yang sepatutnya berlangsung selepas Hari Raya Aidilfitri, antara 18 hingga 23 Mei diawalkan ke bulan ini.

Perubahan itu menjadikan lima hari perlawanan Liga Super dan empat hari perlawanan Liga Premier akan berlangsung sepanjang Ramadan ini.

Pindaan terbaru ini juga bakal menyaksikan skuad Harimau Malaya akan mula berkumpul bagi kem latihan pusat mulai 16 Mei iaitu seminggu lebih awal berbanding jadual asal sebelum ini yang mana mereka kini dijadualkan beraksi dalam dua aksi pemanas badan sebelum berdepan UAE pada 3 Jun, Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun) di UAE.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Cheng Hoe berharap supaya rakyat di negara ini akan terus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada skuad Harimau Malaya bagi mengharungi aksi kelayakan berkenaan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada MFL kerana telah mempertimbangkan permohonan skuad kebangsaan supaya sedikit pindaan dibuat pada jadual Liga Super dan Liga Premier.

“Di kesempatan ini, saya juga mengharapkan sokongan tidak berbelah bahagi daripada semua penyokong kerana sokongan positif kepada pemain sudah tentu akan membantu dalam kita mencapai keputusan yang positif nanti,” katanya.

“Kesemua pemain juga tahu mengenai cabaran dan tanggungjawab yang perlu digalas oleh mereka sebagai pemain kebangsaan,” katanya.