Misi dagangan ke Korea, Jepun jana potensi pelaburan RM16.05 bilion

Menara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Menara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Misi pelaburan dan perdagangan ke Korea Selatan dan Jepun yang berakhir pada 6 April lepas, dijangka menjana potensi pelaburan bernilai RM16.05 bilion serta eksport dengan nilai RM986.15 juta yang dapat direalisasikan pada tahun-tahun akan datang.

Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), daripada angka tersebut, syarikat-syarikat di Korea Selatan telah komited untuk melabur sejumlah RM7.3 bilion di Malaysia dalam masa terdekat.

“Pada masa sama, syarikat-syarikat terbabit juga komited untuk membuat pembelian eksport barangan Malaysia berjumlah sehingga RM70 juta.

“Perkembangan sama turut dilihat di Jepun apabila syarikat-syarikat berkaitan menyatakan untuk melabur sebanyak RM 8.75 bilion di Malaysia dan membeli eksport barangan Malaysia bernilai RM916.15 juta,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Misi enam hari pada 1 hingga 6 April 2021 dan diketuai oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, adalah yang pertama bagi tahun ini serta disifatkan sebagai penting dalam pelbagai usaha MITI untuk menarik pelaburan langsung asing ke Malaysia.

Selain itu, usaha tersebut turut menjadi platform bagi menggalakkan eksport Malaysia ke pasaran global dalam persekitaran ekonomi yang tidak menentu.

Menurut MITI, misi tersebut dimulakan di Seoul yang membabitkan Mohamed Azmin dengan SK Group, konglomerat ketiga terbesar di Korea Selatan serta di kedudukan ke-73 senarai syarikat Fortune 500.

Syarikat berkenaan berminat untuk melabur dalam bidang berpotensi tinggi seperti teknologi hijau, kenderaan elektrik, pengurusan sisa dan tenaga di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Mohamed Azmin turut mengadakan pertemuan dengan pihak Korea Aerospace Industries bagi membincangkan potensi peralihan teknologi dan pembangunan modal insan dalam industri pertahanan aeroangkasa di negara ini.

Di Tokyo, beliau terbabit dalam sesi libat urus konstruktif dengan Mitsubishi Corporation, antara lima syarikat terkemuka Jepun yang menyentuh potensi peluang penyumberan serta pengembangan perdagangan dan pelaburan dengan Malaysia.

Menurut MITI, Menteri Kanan itu turut menyertai sesi bersama Nippon Electric Glass yang bersetuju membuat pelaburan baharu bernilai RM1 bilion di Malaysia bagi pengeluaran gentian kaca serba canggih untuk sektor automotif, pembinaan dan tenaga yang memanfaatkan elemen kecerdasan buatan serta teknologi terkini.

“Dalam sesi beliau dengan rakan sejawatannya, kedua-dua pihak telah saling bertukar pandangan serta usaha bagi memastikan aspek relevan dan daya tahan perniagaan serta persekitaran pelaburan di Malaysia, langkah pemulihan ekonomi menerusi respons terhadap pandemik Covid-19, memperkukuh kerjasama ekonomi selain meningkatkan kerjasama perdagangan dua hala dan ekonomi.

“Kesemua pihak terbabit juga menyatakan kesediaan untuk meneruskan kerjasama bagi memperkukuh hubungan ekonomi sedia ada yang akrab,” kata MITI. - Bernama