Nasib dua beradik pesakit mental dapat perhatian

Peserta terlibat membaikpulih dalam rumah dua beradik di Kampung Buntut Pulau,Temerloh pada Selasa
Peserta terlibat membaikpulih dalam rumah dua beradik di Kampung Buntut Pulau,Temerloh pada Selasa
A
A
A

TEMERLOH - Rumah dua beradik pesakit mental di Kampung Buntut Pulau di sini bakal berwajah baharu selepas nasib mereka mendapat perhatian Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) menerusi program 'Community Outreach' yang dilaksanakan pada Selasa.

Program tahunan jabatan itu khususnya di bawah Pasukan Komuniti Mentari Mentakab turut melibatkan Badan Kebajikan Psikiatri (BKP) Hoshas dan Syarikat Cha's Construction.

Seramai 30 peserta terbabit termasuk Timbalan Pengarah Perubatan 1 Hoshas, Dr Masroja Mohamad@ Kassim.

Pengarah Program, Dr Firdaus Datuk Abdul Gani berkata, selain membaiki rumah pesakit berusia 54 dan 51 tahun yang rosak dilanda banjir baru-baru ini, mereka membina sebuah tandas.

"Ia merupakan salah satu aktiviti tahunan membantu pesakit-pesakit yang dirawat di bawah pantauan jabatan tersebut.

Menurutnya, menerusi program itu, lawatan ke rumah pesakit dilakukan bagi tujuan membantu memenuhi keperluan asas dan kebajikan mereka serta bantuan dari segi pemulihan psikososial.

Tandas baharu yang turut dibina untuk dua beradik terbabit sempena program tersebut.
Gambar kanan: Keadaan dalam rumah dua pesakit itu sebelum dibersihkan oleh peserta program.
Tandas baharu yang turut dibina untuk dua beradik terbabit sempena program tersebut. Gambar kanan: Keadaan dalam rumah dua pesakit itu sebelum dibersihkan oleh peserta program.

"Selain itu program 'outreach' juga bertujuan menggalakkan semua petugas kesihatan dan sukarelawan supaya lebih memahami kehidupan pesakit dan keluarga mereka serta kekangan yang dihadapi mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Firdaus yang juga Ketua Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hoshas memberitahu, usaha itu merapatkan hubungan terapeutik antara pesakit, keluarga, petugas kesihatan serta menggalakkan semangat membantu dalam masyarakat.

Dalam pada itu, beliau menghargai komitmen peserta dan mereka yang menyumbang tenaga serta wang ringgit bagi menjayakan program terbabit.

Jelasnya, sumbangan berupa peralatan rumah, cadar serta makanan kering turut disalurkan kepada dua beradik tersebut.

"Syarikat Cha's Construction turut menyumbang tenaga kerja secara percuma untuk membaik pulih rumah pesakit ini," ujarnya.