X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan terus komited kepada objektif konsolidasi fiskal

Tengku Zafrul - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan terus komited kepada objektif konsolidasi fiskal melalui strategi hasil jangka sederhana dan rangka kerja fiskal jangka sederhana, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz.

Beliau berkata, akta tanggungjawab fiskal yang sedang diusahakan akan memperkuatkan rangka kerja fiskal jangka sederhana seperti pengutamaan perbelanjaan, penambahbaikan sistem cukai, penguatkuasaan yang lebih cekap dan membanteras ketirisan dalam perbelanjaan.

“Buat masa ini, fokus utama kerajaan adalah untuk melonjakkan ekonomi serta menangani masalah struktur demi pertumbuhan dan ketahanan sosioekonomi.”

“Sekiranya terdapat keperluan bagi perbelanjaan tambahan untuk menyokong rakyat dan perniagaan, yakinlah bahawa kerajaan akan menguruskannya dengan komitmen yang tegas dan telus terhadap disiplin fiskal,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab beberapa tohmahan dan andaian daripada pelbagai pihak mengenai ketelusan dan keikhlasan kerajaan dalam mengutamakan kesejahteraan rakyat terutamanya dalam penggunaan segala dasar bagi mencapai matlamat ini.

Setakat penghujung 2020, tahap hutang berkanun kerajaan berjumlah RM820.7 bilion atau 58 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan dijangka mencecah 58.5 peratus pada akhir tahun ini.

Baru-baru ini, Bank Negara Malaysia mengunjurkan ekonomi negara dijangka pulih antara 6.0 hingga 7.5 peratus selaras dengan unjuran organisasi seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia pada kadar 6.5 peratus dan 6 peratus.

“Dengan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang sistematik, langkah kawalan pergerakan secara bersasar dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, saya yakin kita dapat mencapai pertumbuhan ekonomi yang baik dan mampan,” kata Tengku Zafrul. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!