Pembinaan LRA Pelubang bermula 22 April

Muhammad Sanusi pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman pada Rabu.
Muhammad Sanusi pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Pembinaan lima Loji Rawatan Air (LRA) di negeri ini akan dilakukan mengikut jadual ditetapkan yang dimulakan dengan upacara pecah tanah LRA Pelubang pada 22 April.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, empat lagi LRA iaitu Jenun Baru, Sungai Limau, Bukit Selambau dan Lubuk Buntar Lama masih dalam pelaksanaan perundangan dan urusan pentadbiran.

Menurutnya, masalah bekalan air secara menyeluruh di negeri ini hanya akan dapat diatasi sepenuhnya menjelang 2024 apabila kesemua LRA siap dibina.

“Semua lima LRA yang diumum sebelum ini akan take off mengikut jadual, LRA Pelubang akan mula dibina dahulu membabitkan kos keseluruhan RM431 juta.

"Apabila LRA Pelubang siap, ia akan dapat mengatasi masalah bekalan air sekitar Kuala Kedah iaitu Taman Bersatu, Kampung Laksamana serta Kampung Tepi Laut,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Muhammad Sanusi berkata, LRA Pelubang meliputi dua pakej iaitu membina LRA dan menaik taraf saluran paip.

“Kita dahulukan projek naik taraf paip untuk salurkan air yang masih ada di Pelubang secara bypass, membabitkan beberapa struktur paip yang terlalu banyak disalurkan kepada paip utama ke perumahan sebelum LRA siap,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menafikan dakwaan bekalan air selut di Baling adalah berpunca dari perkhidmatan Syarikat Air Darul Aman (SADA).

Artikel Berkaitan:

“Bekalan air keruh itu adalah air paip masyarakat, ia menjadi keruh akibat hujan. Semua air paip masyarakat akan keruh, bukan setiap hari kalau tiada hujan airnya jernih. Saya pun tinggal di kampung juga dan sebahagian penduduk situ guna air masyarakat. Nak kata keruh setiap hari, saya tak percaya, tak munasabah,” katanya.

Menurutnya, air paip masyarakat ini biasanya terletak di atas bukit dan inisiatif penduduk kampung sendiri, bukan SADA.

“Masalahnya kolam tadahan air itu tidak diselenggara dengan baik menyebabkan sampah atau selut masuk ke dalam sistem perparitan,” katanya.

Pada Selasa, lebih 100 penduduk di Kampung Tanjung Pari dan Kampung Batu Lapan di Baling mendakwa terpaksa menggunakan air selut untuk kegunaan harian. Penduduk mendakwa ia berpunca daripada aktiviti pembalakan di kawasan itu sejak kebelakangan ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri akan membantu membaiki dan menaik taraf paip yang rosak bagi kemudahan penduduk yang menggunakan perkhidmatan air masyarakat itu.

“Kita akan baiki sistem air masyarakat di daerah Sik dan Baling yang terjejas, dengan peruntukan satu projek maksimum RM200,000,” katanya.