Tiada jamuan, hanya agihan bungkusan makanan dibenarkan

Jemaah menunaikan solat sunat tarawih di sebuah surau di Kampung Ladang Titian pada 2019.
Jemaah menunaikan solat sunat tarawih di sebuah surau di Kampung Ladang Titian pada 2019.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Semua aktiviti memasak dan jamuan termasuk berbuka puasa, moreh dan bersahur melibatkan jumlah yang ramai tidak dibenarkan diadakan di masjid dan surau di negeri ini sepanjang Ramadan.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad bagaimanapun berkata, agihan juadah makanan kepada jemaah masjid termasuk mereka yang bermusafir diberikan dalam bentuk bungkusan.

"JHEAT dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) kini dalam semakan akhir pekeliling yang akan dikeluarkan kepada semua jawatankuasa masjid dan surau mengenai agihan bungkusan makanan kepada para jemaah selepas menunaikan solat.

"Semua aktiviti memasak dan jamuan beramai-ramai tidak dibenarkan kerana ia dikhuatiri tidak mematuhi SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan sebaliknya agihan makanan hanya diberikan dalam bentuk bungkusan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Dalam pada itu, katanya, solat sunat tarawih dan aktiviti keagamaan termasuk kuliah di semua masjid dan surau di negeri ini dibenarkan sepanjang Ramadan.

Beliau berkata, jumlah rakaat solat sunat tarawih bergantung kepada kemampuan jemaah sama ada untuk menunaikan lapan rakaat atau 20 rakaat tidak termasuk witir.

"Solat sunat tarawih di semua masjid dan surau termasuk solat fardu berjemaah dan solat Jumaat serta kuliah harian telah diperkenankan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sejak Januari lalu.

"Jumlah rakaat solat pula tarawih bergantung kepada kemampuan jemaah dan kita tidak mengeluarkan sebarang ketetapan.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang ditekankan ialah jawatankuasa masjid dan surau serta jemaah diminta mengutamakan keselamatan serta kesihatan (SOP) terutama pemakaian pelitup muka serta melakukan ujian suhu badan sebelum memasuki ruangan solat, " katanya.