X

Kindly register in order to view this article
!

Pusat kumpul sawit disyaki tipu timbangan diserbu

Muhamad Zikril Azan (kiri) melihat timbangan di sebuah pusat pengumpulan dan pembelian sawit di Sungai Yu, Kuala Selangor pada Rabu.
A
A

KUALA SELANGOR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada Rabu menyerbu sebuah pusat pengumpulan dan pembelian sawit di kawasan Sungai Yu, Kuala Selangor selepas dipercayai terlibat dalam penipuan timbang buah kelapa sawit.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, serbuan yang dijalankan kira-kira jam 10 pagi itu mendapati sistem yang digunakan menyebabkan jumlah bayaran kepada pekebun kecil lebih rendah.

"Berdasarkan risikan dan aduan yang diterima, pusat timbang dan pembelian sawit ini dipercayai telah memanipulasi alat timbangan buah sawit," katanya dalam sidang akhbar selepas serbuan itu.

Menurut Muhamad Zikril Azan, Ops Timbang bertujuan menangani isu penipuan timbang buah kelapa sawit yang digunakan dalam industri berkenaan.

"Fokus tindakan operasi ialah memastikan alat timbangan yang digunakan tepat melalui pemeriksaan menyeluruh terhadap peralatan, perisian atau mana-mana komponen perisian yang digunakan oleh peniaga di pusat pengumpulan itu.

"Pemeriksaan juga untuk memastikan alat timbang tersebut telah diuji dan ditentusahkan untuk tujuan perdagangan," katanya.

Menurutnya, peniaga di pusat pengumpulan dan pembelian buah sawit tertakluk di bawah peruntukan Akta Timbang Sukat 1972 (ATS 1972).

Jelasnya, pelaksanaan Ops Timbang Sawit secara bersepadu di seluruh negeri Selangor yang akan berakhir pada minggu ini telah menghasilkan tiga kes melibatkan nilai rampasan keseluruhan RM95,000.

"Selain KPDNHEP, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), turut mengesan empat kes di bawah undang-undang yang dikuatkuasakan oleh jabatan berkenaan.

"KPDNHEP berharap semua pihak yang terlibat dalam industri buah sawit menjalankan aktiviti perniagaan secara jujur, beretika dan tidak mengambil kesempatan dengan perlakuan manipulasi timbangan," katanya.

Operasi turut disertai beberapa agensi termasuk MPOB, agensi Cyber Security Malaysia dan syarikat yang dilantik untuk penentusahan timbangan iaitu Metrology Corporation Berhad (MCM) dan De Metrology Sdn Bhd.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!