Petani rugi hampir RM10,000 diperdaya sindiket parcel scam

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang petani berputih mata selepas kerugian hampir RM10,000 akibat diperdaya wanita yang dikenalinya di Facebook.

Lelaki berusia 61 tahun itu dikatakan menyerahkan wang simpanan dan wang persaraannya ketika bekerja di salah sebuah syarikat cari gali minyak selepas rakan wanita itu memaklumkan ada menghantar barang yang mengandungi pelbagai benih tanaman melalui syarikat kurier.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil siasatan mendapati mangsa dan suspek mula berkenalan sejak awal Mac lalu sebelum berbincang mengenai hal pertanian.

Menurutnya, suspek menawarkan untuk mencari sebidang tanah bagi tujuan projek tanaman pelbagai hasil pertanian daripada luar negara.

"Beberapa minggu kemudian, suspek menyatakan mahu menghantar barangan kepada mangsa yang mengandungi pelbagai benih tanaman.

"Mangsa yang teruja untuk terima barangan tersebut tidak menyedari muslihat dilakukan oleh suspek sehingga terjerat dengan sindiket parcel scam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.

Noorzainy berkata, mangsa kemudiannya telah dihubungi oleh ejen syarikat kurier yang memintanya membuat bayaran ke dalam akaun yang diberikan untuk pelepasan cukai.

Menurutnya, mangsa kemudiannya telah membuat dua transaksi pindahan wang ke dua akaun bank diberikan ejen syarikat tersebut yang kesemuanya berjumlah RM9,890 antara 2 sehingga 6 April lalu.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa mula sedar ditipu selepas diminta untuk membuat bayaran tambahan wang lagi namun tidak menerima barang yang dihantar.

"Dia kemudiannya datang ke balai membuat laporan polis selepas yakin diperdaya dan kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan," katanya.