PATI patah kaki terjun tingkat tiga

Seramai 269 PATI ditahan dalam operasi di tapak pembinaan kondominium di Setapak, Kuala Lumpur pada Rabu.
Seramai 269 PATI ditahan dalam operasi di tapak pembinaan kondominium di Setapak, Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang buruh warga Indonesia nekad terjun dari tingkat tiga di sebuah bangunan di Setapak di sini selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Serbuan di kawasan tapak pembinaan kondominium kira-kira jam 12.20 tengah hari pada Rabu itu mendapati lelaki berusia lingkungan 30-an mengalami patah kaki kanan.

Lelaki tanpa dokumen pengenalan diri itu kemudian dikejarkan ke hospital dengan menaiki ambulans untuk rawatan lanjut.

Selain itu, terdapat beberapa cubaan pekerja pembinaan warga asing yang melarikan diri dan menyorok di sebalik bahan binaan bagi mengelak dicekup.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, serbuan itu dilakukan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Menurutnya, operasi ini bertindak memeriksa 329 individu di kawasan pembinaan terbabit.

"Seramai 269 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 16 wanita ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

"Mengikut pecahan tangkapan, Bangladesh (191), Indonesia (57), Myanmar (19) dan Vietnam (2)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Tegasnya, operasi penguatkuasaan akan diteruskan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melanggar peraturan.

"Imigresen juga mengingatkan majikan tidak melindungi PATI bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang.

"Orang ramai juga digesa untuk menyalurkan maklumat berkenaan PATI dalam membantu kita melaksanakan penguatkuasaan," katanya.