Dua kawasan dikenakan PKPD, satu dilanjut, tiga ditamatkan

Beberapa lokaliti di Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok. (Gambar hiasan)
Beberapa lokaliti di Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok. (Gambar hiasan)
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Dua kawasan di Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa pada Khamis sementara PKPD di satu kawasan yang dijadual tamat pada 9 April ini dilanjutkan, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, dua kawasan yang akan dikenakan PKPD hingga 21 April itu ialah Penjara Sri Aman dan Kuarters Kakitangan di Sri Aman serta Kampung Serpan Laut di Asajaya, Samarahan, sementara PKPD di Kampung Batu Gong, Siburan dilanjutkan hingga 23 April.

Beliau berkata, pelaksanaan PKPD di Penjara Sri Aman dan kuartersnya itu berikutan pengesahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti tersebut dalam tempoh tujuh hari dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.

"Hingga kini, KKM telah melaksanakan 482 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 289 kes positif Covid-19 direkodkan, melibatkan 279 orang tahanan, lapan petugas penjara dan dua ahli keluarga kakitangan penjara," katanya dalam kenyataan mengenai PKP pada Rabu.

Sementara itu, di Kampung Serpan Laut pula, sebanyak 62 ujian saringan telah dijalankan setakat ini dan daripada jumlah tersebut lima kes positif dikesan.

"Pelaksanaan PKPD di kawasan ini adalah untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan bersasar ke atas semua penduduk yang terlibat dan seterusnya menghalang penularan dalam komuniti," katanya.

Mengenai pelanjutan PKPD di Kampung Batu Gong, Ismail Sabri berkata, langkah itu dibuat berikutan masih terdapat penularan jangkitan serta kes baharu dalam kalangan komuniti di lokaliti tersebut.

"KKM telah melaksanakan 485 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 95 kes positif Covid-19 direkodkan... maka kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di kawasan itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, PKPD di tiga kawasan tamat pada Khamis seperti yang dijadualkan iaitu dua di Kota Belud, Sabah (Kampung Lebak Moyoh dan Kampung Siasai Tamu), serta satu di Serian, Sarawak iaitu Kampung Chupak di Siburan.

Ismail Sabri berkata, penamatan itu diputuskan berikutan baki kes aktif di ketiga-tiga lokaliti itu adalah terkawal.

"Di Kampung Lebak Moyoh, sebanyak 558 ujian saringan dijalankan dan daripada jumlah itu 13 kes positif direkodkan dan semua kes positif telah menerima rawatan manakala kontak rapat telah diasingkan serta dipantau sehingga hari ke-14.

"Di Kampung Siasai Tamu pula, sebanyak 602 ujian saringan dilaksanakan dan daripada jumlah itu sembilan kes direkodkan yang mana kes terakhir dilaporkan ialah pada 22 Mac, sebanyak lima kes," katanya.

Di Kampung Chupak katanya, sebanyak 968 ujian saringan dijalankan, dan daripada jumlah itu 111 kes direkodkan.

Mengulas mengenai kes ingkar PKP, beliau berkata, seramai 92 individu ditahan pada Selasa dengan 88 dikompaun dan empat lagi direman, merangkumi kesalahan tiada penjarakan fizikal sebanyak 43 kes dan rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran sebanyak 21 kes.

Pada masa sama menurutnya, seramai 43 pendatang asing tanpa izin (PATI) diberkas dan tiga diusir dalam Operasi Benteng, selain sebanyak 153 buah bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui 11 aktiviti penglihatan.

Mengenai saringan wajib pekerja asing pula, katanya, seramai 1,776 warga asing menjalani ujian saringan pada Selasa dan daripada jumlah itu 11 orang didapati positif Covid-19. - Bernama