WHO tidak setuju pengenalan pasport vaksin

Pengenalan pasport vaksin mungkin memburukkan lagi masalah akses vaksin yang tidak adil dalam kalangan banyak negara. - Foto 123RF
Pengenalan pasport vaksin mungkin memburukkan lagi masalah akses vaksin yang tidak adil dalam kalangan banyak negara. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menentang pengenalan pasport vaksin buat masa ini, dengan alasan ia mungkin akan memburukkan lagi masalah akses vaksin yang tidak adil dalam kalangan banyak negara.

Bercakap pada sidang akhbar maya sempena Hari Kesihatan Sedunia, Pengarah Kecemasan Serantau untuk Wilayah Pasifik Barat WHO (WPR), Dr Babatunde Olowokure berkata, walaupun mereka memahami pentingnya pemulihan ekonomi pelancongan antarabangsa negara, namun bekalan vaksin global ketika ini amat terhad untuk membolehkan pengenalan pasport vaksin.

“Pendirian WHO ketika ini ialah pihak berkuasa negara dan pihak berkuasa perjalanan tidak boleh memperkenalkan satu bentuk bukti vaksinasi Covid-19 untuk perjalanan antarabangsa sebagai syarat bagi pelepasan atau ketibaan (sesebuah negara). Bekalan global yang terhad adalah faktornya. Vaksinasi pilihan bagi pelancong boleh menyebabkan bekalan vaksin yang menyusut bagi mereka yang dianggap berisiko,” tambahnya.

Beliau berkata, kekurangan data mengenai sama ada vaksin dapat mencegah jangkitan dan penularan koronavirus juga merupakan satu lagi faktor yang menolak pengenalan pasport vaksin.

Olowokure juga memberi amaran terhadap 'optimisme vaksin', dengan mengatakan bahawa langkah-langkah kesihatan awam seperti penggunaan pelitup muka dan kebersihan tangan masih harus diteruskan walaupun sudah ada vaksinasi.

Beberapa negara termasuk Malaysia, telah menimbangkan keperluan bukti vaksinasi bagi pelancong, dan beberapa hospital swasta di Malaysia dilihat menyokong idea ini bulan lepas, dengan mengatakan bahawa pasport vaksin akan membantu pemulihan industri pelancongan perubatan di sini.

WHO-WPR juga mengumumkan rancangan untuk membangunkan jaringan pengawasan genom serantau dengan negara-negara anggota Singapura, Jepun, dan Australia, bagi menyediakan penjujukan genom virus untuk negara-negara yang tidak memiliki kemampuan berbuat demikian.

Pengarah wilayah WHO-WPR, Dr Takeshi Kasai berkata, dengan jaringan pengawasan itu, ia akan membantu mereka mengesan varian baharu dan terkini Covid-19, di samping penyakit yang baharu muncul.

Artikel Berkaitan:

"Ini akan menjadi infrastruktur yang sangat penting untuk pandemik berikutnya," katanya.

WHO turut mencadangkan negara-negara menggunakan vaksin AstraZeneca-Oxford, dengan mengatakan bahawa kajian menunjukkan bahawa vaksin itu tidak membawa kepada kematian akibat darah beku.

Sementara itu, Penyelaras Ubat-ubatan Penting dan Teknologi Kesihatan untuk WHO-WPR, Dr Socorro Escalante berkata kadar pemantauan dalam kelompok populasi yang diberi vaksin kini semakin rendah, kerana ia memang dijangka berlaku secara semula jadi dalam populasi umum.

United Kingdom (UK) melaporkan tujuh kematian daripada 30 orang yang mengalami pembekuan darah setelah menerima suntikan vaksin AstraZeneca-Oxford dan pada 6 April, dan 18 juta orang telah menerima vaksin di negara itu. - Bernama