Ma'ruf tenang laporan Ahok gantikan dirinya

Ma'ruf (kanan) tidak terjejas dengan laporan Indopos
Ma'ruf (kanan) tidak terjejas dengan laporan Indopos
A
A
A

JAKARTA - INDONESIA. Calon wakil presiden, Ma'ruf Amin tenang dan bersahaja apabila diminta mengulas laporan Indopos mengatakan dirinya bakal digantikan oleh bekas Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok pada pilihan raya presiden (Pilpres) pada April ini.

Menurut Ma'ruf, akhbar tersebut 'sedang mengelamun' dan laporan berkenaan ditulis berdasarkan andaian.

Katanya, proses penggantian wakil presiden bukan semudah yang dilaporkan akhbar berkenaan kerana ia melibatkan perlembagaan.

"Saya anggap laporan ini sengaja dibuat bagi menimbulkan salah faham dan ia dijadikan senjata kelompok tertentu atau pihak di 'sebelah sana' dalam cubaan mempengaruhi minda pengundi," katanya.

Pada Pilpres kali ini, Ma'ruf digandingkan dengan Presiden Joko Widodo atau Jokowi bagi menentang gandingan Prabowo Subianto dan Sandiaga Uno.

Indopos menyiarkan laporan 'Ahok gantikan Ma'ruf Amin?' pada Rabu lalu tidak lama selepas kemasukan Ahok ke dalam Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P).

Ahok dibebaskan daripada hukuman penjara yang dijalaninya selama dua tahun selepas disabit bersalah mempersenda agama, hujung bulan lalu.

Beliau mengambil alih pentadbiran Jakarta pada 2015 apabila ketuanya ketika itu, Jokowi menang pada pilihan raya presiden. - Agensi

Artikel Berkaitan: