X

Kindly register in order to view this article
!

Pelajar IPTA disyaki bunuh abang ditahan

Laporan Sinar Harian berhubung penemuan mayat seorang lelaki berusia 30 tahun di sebuah apartmen di Taman Pandan Indah.
A
A

AMPANG - Seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ditahan reman selama tujuh hari bermula Rabu bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh seorang lelaki di sebuah apartmen di Taman Pandan Indah pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, lelaki berusia 22 tahun yang juga adik mangsa ditahan pada jam 6 petang di lokasi kejadian pada hari yang sama.

"Proses bedah siasat mangsa sedang dijalankan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Mohamad Farouk meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Saiful Azhar Rahim di talian 01112116458 bagi membantu siasatan.

Pada Selasa, media melaporkan seorang kakitangan swasta ditemui mati disyaki dibunuh di kediamannya di sebuah apartmen Taman Pandan Indah, Ampang di sini.

Lelaki tempatan berusia 30 tahun itu ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian dan terlentang di atas katil bilik tidur pada jam 2 petang oleh adiknya.

Pemeriksaan lanjut ke atas mayat mangsa mendapati terdapat kesan luka pada bahagian dada disyaki terkena objek tajam.

Dalam kenyataan Mohamad Farouk sebelum ini memaklumkan mangsa dipercayai dibunuh dan meninggal dunia di antara jam 10 hingga 11 pagi.

“Difahamkan ketika kejadian, hanya mangsa berdua bersama adiknya di rumah berkenaan manakala ahli keluarga yang lain berada di luar.

“Majikan mangsa turut memaklumkan kepada ibunya yang mangsa tidak datang bekerja pada hari berkenaan,” ujarnya.

Katanya, polis masih menyiasat motif sebenar kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Mayat lelaki ditemukan dengan kesan luka di dada


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!