Kartel projek: SPRM akan tahan beberapa lagi individu

Azam Baki
Azam Baki
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menahan beberapa lagi individu yang mempunyai kaitan dengan kartel projek.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, siasatan lanjut masih giat dijalankan walaupun suspek utama sudah ditahan.

"Saya tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan baharu membabitkan kes ini (kartel projek)," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini pada Rabu.

Setakat ini, lapan individu telah ditahan, termasuk seorang pegawai sebuah agensi kerajaan berusia 38 tahun bekerja sebagai juruukur bahan Gred 48.

Pada Selasa, media melaporkan sebanyak 644 akaun individu dan syarikat yang dianggarkan bernilai RM100 juta dibekukan dalam siasatan kes kartel projek.

Kartel projek yang diketuai oleh ahli perniagaan berusia 47 tahun berkenaan membolot projek kerajaan menerusi tender dan sebut harga bernilai lebih RM3.8 bilion.

Difahamkan, sindiket itu sudah beroperasi sejak 2014 hingga 2021.

Kemewahan yang ditunjukkan oleh individu bergelar Datuk yang juga ketua sindiket itu amat luar biasa kerana bukan saja memiliki banyak hartanah dan wang tunai malah kapal mewah dan helikopter.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM tumpas sindiket kartel projek RM3.8 bilion

Kartel projek RM3.8 bilion: Pegawai kanan kerajaan diberkas

Wang tunai RM3.5 juta dalam rumah ketua sindiket kartel tender