X

Kindly register in order to view this article
!

Kedah salur insentif RM25,000 kepada Zii Jia

Zii Jia
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia akan menerima insentif sebanyak RM25,000 daripada kerajaan Kedah susulan kejayaannya merangkul kejuaraan Seluruh England bulan lalu.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, insentif itu akan diserahkan dalam satu majlis meraikan pemain berusia 23 tahun itu sebaik sahaja beliau pulang ke Kedah nanti.

Menurut Muhammad Sanusi, Zii Jia pada ketika ini terikat dengan jadual latihan yang padat sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan Olimpik Tokyo.

“Jadi kita tidak boleh ganggu jadual latihan beliau, kita sediakan dulu RM25,000 dan apabila beliau balik kita akan serahkan dalam satu majlis yang sudah dirancang,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Lee Zii Jia juara Seluruh England, tewaskan Viktor Axelsen

Pemain yang menduduki ranking kelapan dunia kelahiran Alor Setar itu, muncul juara Seluruh England selepas menewaskan juara bertahan dari Denmark Viktor Axelsen pada perlawanan akhir berlangsung di Utilita Arena, Birmingham, 21 Mac lalu.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan Kedah juga bersetuju untuk memberikan insentif RM10,000 kepada seorang daripada pemain beregu wanita negara juga berasal dari Kedah Pearly Tan yang menjuarai Terbuka Switzerland pada 7 Mac lalu.

Pearly dan pasangannya M. Thinaah menumpaskan pilihan ketiga kejohanan dan ranking ke-14 dunia dari Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva 21-19, 21-12 dalam tempoh 43 minit, di gelanggang St Jakobshalle, Basel.

Kemenangan itu sekali gus merekodkan kejuaraan pertama Pearly-Thinaah dalam kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 300. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Agong berkenan terima raket All England Lee Zii Jia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!