Peneroka Ladang Tannamaram bantah pajakan tanah

Peneroka mengadakan perhimpunan aman di Ladang Tannamaram, Bestari Jaya bagi membantah tindakan kerajaan negeri memberikan pajakan kepada tiga syarikat tanpa sebarang perbincangan dengan peneroka yang mengusahakan tanah itu sejak lebih 40 tahun lalu.
Peneroka mengadakan perhimpunan aman di Ladang Tannamaram, Bestari Jaya bagi membantah tindakan kerajaan negeri memberikan pajakan kepada tiga syarikat tanpa sebarang perbincangan dengan peneroka yang mengusahakan tanah itu sejak lebih 40 tahun lalu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kira-kira 300 peneroka di Ladang Tannamaram, Bestari Jaya di sini mengadakan perhimpunan aman membantah tindakan kerajaan negeri memberikan pajakan kepada tiga syarikat tanpa sebarang perbincangan dengan mereka yang mengusahakan tanah itu sejak lebih 40 tahun lalu.

Bantahan itu dilakukan peneroka di dua kawasan iaitu di Ladang Tanjong Pasir dan Kampung Seri Makmur.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, peneroka di kawasan itu yang majoritinya mengusahakan tanaman kelapa sawit, buah-buahan dan sayuran kecewa dengan tindakan kerajaan negeri yang memberikan pajakan tanah kepada tiga syarikat terbabit.

"Persoalannya mengapa dua daripada tiga syarikat yang menggunakan alamat sama diberikan pajakan tanah hanya dua bulan selepas syarikat ini ditubuhkan pada Julai 2018," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan peneroka di Ladang Tannamaram di sini pada Rabu.

Noh berkata, tiga syarikat itu menerima pajakan tanah yang dianugerahkan kerajaan negeri di dua kawasan terbabit iaitu di Ladang Tanjong Pasir dan Kampung Seri Makmur.

"Dua syarikat ini dikatakan mengusahakan tanah di Tanjong Pasir bagi tujuan pertanian dan penternakan, manakala sebuah syarikat lagi di Kampung Seri Makmur membabitkan projek tanaman dan ternakan yang diberi pajakan selama 21 tahun," katanya.

Menurutnya, rata-rata peneroka di kawasan itu sudah meneroka tanah terbabit sejak tiga generasi pada tahun 1965.

"Malah saya difahamkan tanah di Kampung Seri Makmur secara kecil-kecilan turut dikenakan sewaan oleh syarikat terbabit pada kadar 150 seekar (0.4 hektar)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru tegas Noh, kerajaan negeri digesa menarik semula pajakan yang diberikan kepada syarikat terbabit.

"Saya difahamkan, peneroka juga sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengadu hal tersebut pada 19 November 2019," katanya.

Katanya, pada masa ini, penduduk membantah pembinaan jalan sepanjang satu kilometer yang dibina sejak tujuh bulan lalu.

"Sepatunya hendak masuk (buat jalan) bincang dahulu dengan peneroka, fikirkan juga kesan kepada mereka dan kita tidak mahu timbul kekecohan," katanya.

Seorang peneroka, K Siva, 44, berkata, peneroka membantah penerokaan tanah di kawasan itu yang disifatkan menindas penduduk miskin.

"Ini tanah yang kami warisi daripada datuk dan moyang sejak sekian lama dan kami memerah keringat mengaut hasil terutama bila berlakunya banjir dengan mengangkut hasil sawit dengan menggunakan sampan.

"Kami tidak mahu tanah ini dirampas dengan sewenang-wenangnya dan menyebabkan kami menanggung kerugian," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata, beliau hadir untuk bertemu dengan peneroka di kawasan itu bagi memberi keadilan terhadap tanah terbabit.

Malah katanya, beliau sendiri bersama Noh akan membuat susulan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung laporan dibuat peneroka terbabit.

"Kita akan melihat apakah status tanah tersebut kerana ia melibatkan masalah rakyat B40 yang tiada tanah lain kerana ini sahaja mata pencarian mereka.

"Sebagai kerajaan, kita akan bantu rakyat tanpa mengira parti untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan," katanya.