Felda masih teruskan usaha pengambilalihan FGV Holdings

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Hasrat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) untuk mengambil alih FGV Holdings Bhd masih lagi diteruskan dan usaha sedang dijalankan bagi merelisasikan pelan pemulihannya, kata bekas ketua pegawai eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad.

Zakaria yang juga merupakan salah seorang pemegang saham Koperasi Permodalan Felda Bhd (KPF) berkata, beliau percaya Felda akan berunding dengan dua lagi pemegang saham FGV iaitu kerajaan negeri Pahang dan kerajaan negeri Sabah yang masing-masing memiliki lima peratus dan empat peratus saham syarikat tersebut.

Ketika ini, Felda dan KPF menguasai 81 peratus saham FGV.

“Untuk faedah peneroka, saya percaya kedua-dua negeri akan memberikan kerjasama kepada Felda supaya matlamat Felda untuk menswastakan FGV akan berjaya, iaitu bagi meningkatkan pendapatan Felda.

“Saya percaya dengan keadaan sekarang, ia adalah masa yang sesuai bagi Felda untuk mengambil alih FGV,” katanya kepada pemberita semasa ditemui selepas Majlis Pelancaran Promosi Ramadan D’Saji, di sini, pada Rabu.

Bagaimanapun, katanya, kegagalan dalam usaha pengambilalihan FGV bukan bermakna pengakhiran kepada pelan pemulihan Felda.

Sebaliknya ia telah berjaya mendapatkan sekurang-kurangnya 81 peratus saham FGV daripada 34 peratus dalam masa beberapa bulan.

“Saya percaya jumlah peratusan tersebut bukan jumlah yang rendah tetapi ia adalah satu lonjakan yang besar. Mungkin kita gagal sedikit tetapi ia tidak bermakna “the end of it” (satu pengakhiran).

Artikel Berkaitan:

“Saya nampak usaha itu sedang berlaku,” kata Zakaria.

Terdahulu Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh dalam ucapannya semasa majlis tersebut mengecam sesetengah media yang menyatakan agensi kerajaan itu ‘gagal’ dalam usahanya untuk menjadikan syarikat perladangan tersebut sebagai sebuah syarikat sendirian berhad pada RM1.30 sesaham.

Idris sebelum ini dilaporkan sebagai berkata pengambilalihan FGV oleh Felda merupakan bahagian penting dalam Pelan Pemulihan Felda yang diluluskan kerajaan bagi memberi manfaat kepada 112,638 peneroka dan dua juta ahlinya.

FELDA berhasrat mengambil alih FGV kerana ia merancang untuk menamatkan perjanjian pajakan tanahnya (LLA) dengan FGV, yang mana di bawah LLA tersebut, syarikat itu memajak 350,000 hektar tanah perladangan bagi RM248 juta setahun ditambah dengan keuntungan 15 peratus bagi tempoh 99 tahun. - Bernama