Lelaki maut selepas dihukum 300 kali 'squat-thrust'

Darren Manaog Penaredondo maut selepas melakukan senaman 'squat-thrust' sebanyak 300 kali sebagai hukuman melanggar perintah berkurung semasa pandemik Covid-19 di Filipina. - Foto Daily Mail
Darren Manaog Penaredondo maut selepas melakukan senaman 'squat-thrust' sebanyak 300 kali sebagai hukuman melanggar perintah berkurung semasa pandemik Covid-19 di Filipina. - Foto Daily Mail
A
A
A

MANILA - Seorang lelaki maut didakwa selepas melakukan senaman 'squat-thrust' sebanyak 300 kali sebagai hukuman melanggar perintah berkurung semasa pandemik Covid-19 di Filipina.

Menerusi laporan Daily Mail, Darren Manaog Penaredondo, 28, meninggal dunia pada 3 April selepas dua hari menerima hukuman itu kerana ditangkap membeli sebotol air dari sebuah kedai di bandar General Trias di pinggir ibu kota Manila pada jam 6 petang.

Rakan mangsa, Reichelyn Balce memberitahu, Penaredondo hanya pulang ke rumah keesokan harinya (Jumaat) jam 8 pagi ekoran tidak mampu berdiri, berjalan selepas melakukan 300 'squat-thrust' tanpa henti.

"Saya bertanya adakah dia dipukul, dia hanya tersenyum tetapi jelas dia alami kesakitan.

"Dia tidak mampu berdiri sepanjang hari, merangkak di lantai kerana kaki dan lututnya terlalu sakit," kata Balce.

Ketika Penaredondo hendak ke bilik mandi, dia diserang sawan namun berjaya diselamatkan menerusi bantuan pernafasan (CPR).

Bagaimanapun, dia disahkan meninggal dunia jam 10 malam pada Jumaat di rumah.

Sepupu mangsa, Adrian Lucena mengumumkan berita kematian Penaredondo di Facebook dengan menulis: "Kami sangat menyayangi kamu. Kami tidak akan membiarkan mereka yang bertanggungjawab terlepas daripada hukuman".

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis, Leftenan Kolonel Marlo Solero akan melakukan siasatan terperinci berhubung kejadian itu.

Beliau juga menafikan senaman 'squat-thrust' adalah hukuman kepada individu yang melanggar perintah berkurung pada malam 1 April.

"Jika polis terbabit memberi hukuman itu, pihak kami tidak akan berkompromi dan akan menyiasat perkara tersebut," katanya.