X

Kindly register in order to view this article
!

Gesaan Zahid berundur terus bergema

Suzana Banoo dan Mohd Faizal
A
A

SHAH ALAM - Gesaan pemimpin akar umbi UMNO meminta Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berundur dan memberi laluan kepada kepimpinan baharu semakin kuat bergema.

Kali ini, tuntutan itu datangnya daripada Ketua Pemuda dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Simpang Renggam yang meminta Ahmad Zahid menerima hakikat untuk berundur daripada terus memegang jawatan utama parti kerana pemimpin veteran itu sudah menjadi liabiliti.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Simpang Renggam, Mohd Faizal Mohd Said berkata, naratif kepada desakan pihaknya bukan satu perkara baharu dan bersifat peribadi.

Jelas beliau, ini kerana kedudukan Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO pada masa kini adalah berbeza dengan presiden-presiden parti pada masa lalu.

Hal ini berpunca daripada kes pertuduhan mahkamah yang dihadapi Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, sekali gus memberi kesan langsung kepada parti.

"Dalam kesepakatan UMNO menjadi sebahagian kerajaan hari ini, kita dapat melihat menteri-menteri UMNO menunjukkan prestasi cemerlang, namun ironinya UMNO pula berhadapan masalah kepimpinan yang menjadi liabiliti parti.

"Sebagaimana langkah diambil Datuk Seri Najib Tun Razak (bekas Perdana Menteri) mengambil tanggungjawab berundur sebagai Presiden UMNO selepas kekalahan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"Beliau (Najib) mengambil sikap berlapang dada dan tidak mengheret parti bersama dalam menangani masalah beliau. Justeru, Ahmad Zahid sewajarnya berjiwa besar melakukan perkara sama demi kelangsungan parti," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Perasmian Persidangan Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur sempena PAU 2020 pada 28 Mac lalu. - Foto Bernama
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Perasmian Persidangan Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur sempena PAU 2020 pada 28 Mac lalu. - Foto Bernama

Baru-baru ini, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pontian, Mohd Helmi Buang meminta Ahmad Zahid melepaskan jawatannya sebagai Presiden UMNO jika mahu menteri dalam parti itu meletak jawatan atas dasar kepentingan bersama.

Sentimen itu turut disokong Penasihat UMNO Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dalam satu kenyataan yang menyarankan pemimpin UMNO yang berdepan pertuduhan mahkamah harus berehat daripada parti atau meletak jawatan kerana mereka meninggalkan tanggapan buruk dalam kalangan rakyat.

Semalam, Ahmad Zahid dikaitkan pula dengan rakaman video dan audio perbualan telefon tular bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan mirip suara mereka berdua.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bagan Datuk dalam satu kenyataan menafikan kaitan beliau dengan rakaman audio tular berkenaan.

Ditanya mengenai kesan rakaman audio perbualan tular Zahid-Anwar, Mohd Faizal enggan memberi ulasan dan menyerahkan kepada ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk membuat keputusan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan gesaan Ahmad Zahid 'berehat' daripada jawatan Presiden UMNO juga demi memberi ruang rehat cukup kepada pemimpin itu untuk fokus terhadap perbicaraan kes mahkamah demi didepani beliau.

"Presiden UMNO sebagai jeneral parti, sudah tentu ahli-ahli UMNO akan mengangkat setia beliau untuk menerajui tampuk kepimpinan negara sekiranya diberi mandat pada masa hadapan.

"Bagaimanapun, semua pihak harus percaya kepada institusi Presiden yang turut meliputi Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden, ketua-ketua sayap dan ahli-ahli MKT UMNO.

"Dengan pengunduran Presiden, UMNO masih lagi dapat digerakkan menerusi institusi Presiden sebagaimana saya sebutkan," katanya.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO Bahagian Simpang Renggam, Suzana Banoo Shaikh Shafiullah menyokong gesaan Ahmad Zahid menarik diri dengan cara terhormat.

Katanya, proses pemilihan UMNO perlu diadakan dengan kadar segera supaya parti menerima mandat kepimpinan baharu bagi menghadapi PRU15.

"Rakyat mahu melihat kepimpinan UMNO baharu mengetuai kerajaan pada masa hadapan dengan lebih relevan.

"Inilah suara anak muda. Kami mahukan sebuah kerajaan dipimpin seseorang yang tidak mempunyai kepentingan peribadi semata-mata," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakaman audio didakwa mirip suara Anwar-Ahmad Zahid tersebar


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!