X

Kindly register in order to view this article
!

Penjaga rumah kebajikan didakwa cabul anak yatim

Mohd Hamdan dan Nor Adila dihadapkan ke Mahkamah Kota Bharu atas tuduhan melakukan kesalahan seksual dan penderaan terhadap empat anak yatim serta asnaf.
A
A

KOTA BHARU - Sepasang suami isteri yang merupakan penjaga sebuah rumah kebajikan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas tuduhan melakukan kesalahan seksual dan penderaan terhadap empat anak yatim serta asnaf.

Mohd Hamdan Yasin, 38, yang mesra disapa ‘papa’ manakala Nor Adila Zakaria, 35, yang dipanggil ‘ibu’ bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Hamdan didakwa dengan maksud seksual menyentuh seorang gadis berusia 13 tahun 10 bulan dengan memegang kemaluan mangsa di bilik sebuah rumah kebajikan di Pengkalan Chepa di sini pada jam 2 pagi sekitar September 2020.

Pada pertuduhan kedua, Mohd Hamdan didakwa dengan maksud seksual menyentuh seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun tujuh bulan dengan memegang payudara mangsa di lokasi sama pada jam 12.20 malam sekitar Julai 2019.

Pada pertuduhan ketiga, Mohd Hamdan didakwa dengan maksud seksual menyentuh kanak-kanak sama ketika berusia 12 tahun sembilan bulan dengan memegang kemaluan mangsa di ruang tamu rumah sama pada jam 2 pagi sekitar September 2020.

Pada pertuduhan keempat, Mohd Hamdan didakwa dengan maksud seksual menyentuh seorang kanak-kanak perempuan sembilan tahun 10 bulan pada payudara pada jam 3 petang sekitar April 2019.

Kesemua pertuduhan pertama sehingga keempat dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum disebat.

Pada pertuduhan kelima, mereka didakwa secara bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun enam bulan menganiaya mangsa sehingga mengalami kecederaan fizikal pada pipi dan dada.

Mohd Hamdan dan Nor Adila dikawal ketat polis keluar dari lokap Mahkamah Kota Bharu menuju ke bilik Mahkamah Sesyen pada Rabu.
Mohd Hamdan dan Nor Adila dikawal ketat polis keluar dari lokap Mahkamah Kota Bharu menuju ke bilik Mahkamah Sesyen pada Rabu.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Hajarul Falenna Abu Bakar yang tidak mencadangkan jaminan kerana menerima maklumat berlaku gangguan terhadap saksi dan mangsa.

Mereka yang diwakili peguam bela, Zuhaidie Akmal Hasan Basri bagaimanapun memohon Nor Adila dibenarkan jaminan kerana mempunyai dua anak berusia 12 tahun dan setahun yang masih menyusu badan, manakala rayuan Mohd Hamdan akan dibuat secara bertulis.

“Nor Adila sebelum ini berpendapatan RM1,200, namun sudah berhenti daripada berkhidmat di rumah kebajikan tersebut sementara Mohd Hamdan bekerja sebagai buruh,” katanya.

Ahmad Bazli kemudian membenarkan Nor Adila diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi serta perlu melaporkan diri ke balai polis setiap awal bulan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 10 Mei depan bagi mendapatkan mendapatkan laporan perubatan kesemua mangsa.