Imunisasi Covid-19: OKU digesa daftar dengan JKM

Ras Adiba
Ras Adiba
A
A
A

PUTRAJAYA- Presiden OKU Sentral Datuk Ras Adiba Radzi menggesa Orang Kurang Upaya (OKU) yang masih belum berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar segera berbuat demikian untuk memudahkan mereka disertakan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Ras Adiba yang juga Senator mewakili golongan OKU, berkata setakat ini, jumlah OKU yang berdaftar dengan JKM hanya sekitar 590,000 orang berbanding anggaran 4.7 juta OKU di negara ini.

“Segera berdaftar dengan JKM untuk dapatkan kad OKU yang akan memudah cara proses pendaftaran penerimaan vaksin," katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan 152,000 pelitup muka Yuka Zan bernilai RM106,400 daripada Shills Beauty Sdn Bhd kepada OKU Sentral, di sini pada Rabu.

Ras Adiba yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) turut meminta golongan OKU mengetepikan rasa rendah diri atau malu dengan keadaan diri untuk mendaftar dengan JKM, selain berharap anggota keluarga atau individu berdekatan OKU membantu mereka mendaftar dengan MySejahtera bagi mendapatkan vaksinasi.

Fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang mengutamakan OKU, warga emas dan golongan berpenyakit kronik akan bermula pada 19 April ini di lapan negeri.

Mengenai sumbangan itu, Ras Adiba menzahirkan penghargaan kepada Shills Beauty atas inisiatif tersebut memandangkan ramai OKU memerlukan pelitup muka ketika ini dan pihak OKU Sentral juga menerima makluman segelintir OKU terpaksa menggunakan pelitup muka berulang kali kerana tidak mampu membelinya.

Beliau berkata, pelitup muka yang diterima hari ini akan diagihkan kepada anggota OKU Sentral dan persatuan OKU yang lain.

Sementara itu, Pengurus Besar Shills Beauty Joen See Sau Har berkata sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat mereka dan akan menyalurkan sumbangan sama kepada badan kebajikan lain. - Bernama

Artikel Berkaitan: