Jutawan dunia semakin kaya waktu pandemik

Jeff Bezos, Elon Musk dan Bernard Arnault menduduk tiga tangga teratas lelaki terkaya di dunia.
Jeff Bezos, Elon Musk dan Bernard Arnault menduduk tiga tangga teratas lelaki terkaya di dunia.
A
A
A

MOSCOW - Golongan kaya menyaksikan kekayaan mereka menokok sehingga 60 peratus ketika dunia bergelut wabak selain 660 orang kini bergelar jutawan, catatan tertinggi ketika ini, menurut Senarai Jutawan Dunia 2021 Forbes, lapor Sputnik.

Secara keseluruhan, seramai 2,755 orang berjaya menempatkan diri ke senarai itu, juga suatu rekod baharu. Mereka yang baharu tersenarai termasuk 210 orang dari China dan Hong Kong serta 98 dari Amerika Syarikat.

Untuk empat tahun berturut-turut, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Amazon, Jeff Bezos, menduduki takhta lelaki terkaya dunia dengan mengumpul AS$177 bilion keuntungan bersih.

CEO SpaceX dan Tesla, Elon Musk, yang dianggarkan memiliki kekayaan bersih AS$151 bilion, melonjak daripada tangga ke 31 ke tempat kedua. Jutawan barangan mewah Perancis, Bernard Arnault, kekal di tempat ketiga.

Bill Gates, pengasas Microsoft pula di tangga keempat dengan AS$124 bilion.

Sementara itu, pemegang saham utama dan pengerusi syarikat perlombongan Severstal, Alexey Mordashov (AS$29.1 bilion), buat pertama kali berada di tangga teratas jutawan Rusia.

Pengasas aplikasi Telegram, Pavel Durov, buat pertama kali muncul dalam senarai 10 terkaya Rusia, selepas mengumpul AS$17.2 bilion tahun lalu, berbanding AS$13.8 bilion tahun sebelumnya. - Bernama

Artikel Berkaitan: