PKPD: 385 murid SK Keruak jalani PdPR

SK Keruak, Jertih di Terengganu ditutup susulan pelaksanaan PKPD di mukim Hulu Besut berkuatkuasa pada Rabu.
SK Keruak, Jertih di Terengganu ditutup susulan pelaksanaan PKPD di mukim Hulu Besut berkuatkuasa pada Rabu.
A
A
A

KUALA NERUS - Seramai 385 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Keruak di Jertih, Terengganu menjalani proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mukim Hulu Besut berkuat kuasa pada Rabu.

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Salim Ab Ghani berkata, ia berikutan penutupan sekolah berkenaan yang turut dikuatkuasakan bermula pada Rabu.

Menurutnya, tempoh penutupan sekolah itu akan diketahui selepas kerajaan mengumumkan penamatan PKPD di mukim terbabit.

"PKPD di kawasan yang mempunyai tiga buah kampung itu hanya melibatkan sebuah sekolah rendah.

"Jumlah keseluruhan murid di SK Keruak adalah seramai 385 murid Tahun Satu hingga Enam dengan 205 murid lelaki dan 180 murid perempuan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu sempena Sambutan Hari Guru Peringkat negeri pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, setakat ini tiada murid dan guru serta pengurusan sekolah dijangkiti Covid-19.

Katanya, sesi pembelajaran di sekolah terbabit akan berjalan seperti biasa.

"Sepanjang penutupan sekolah itu, pengurusan sekolah itu akan melaksanakan pembelajaran menggunakan PdPR," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa berkata, tiga kampung di mukim Hulu Besut iaitu Kampung Belaoh, Kampung Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Belaoh Baru dan Kampung Keruak dikuatkuasakan PKPD bermula Rabu.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat susulan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan peningkatan kes Covid-19 di tiga lokaliti terbabit.