Polis buru 218 individu terlibat kes dadah

Individu yang dikehendaki polis bagi menyelesaikan kes penyalahgunaan dadah.
Individu yang dikehendaki polis bagi menyelesaikan kes penyalahgunaan dadah.
A
A
A

KEMAMAN - Polis kini giat mengesan 218 lagi individu bagi menyelesaikan kes penyalahgunaan pelbagai jenis dadah yang disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kesemua dikehendaki berusia antara 15 hingga 66 tahun yang memiliki rekod kesalahan tersebut sejak 2017, 2019, 2020 dan tahun ini.

Menurutnya, bermula 1 April lalu, Ops Khas mencari seramai 263 individu dikehendaki di daerah ini dilancarkan dan dalam tempoh empat hari (1 hingga 4 April), seramai 45 daripadanya ditahan termasuk ada juga yang sukarela datang menyerah diri.

"Bagi yang sukarela serah diri, ketika ditanya kenapa berbuat keputusan demikian, mereka memaklumkan 'takut' apabila mengetahui dirinya diburu selepas diberitahu keluarga terdekat dan rakan-rakan yang terlihat wajahnya di laman sosial termasuk di Facebook rasmi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman.

"Melihat keberkesanan langkah ini, kami ambil keputusan dengan menyebarkan wajah 10 individu dikehendaki yang masih berbaki ini setiap hari di semua laman sosial terutama yang menjadi pilihan golongan muda seperti Instagram," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Hanyan (dua dari kiri) bersama tiga pegawainya menunjukkan gambar individu yang dikehendaki.
Hanyan (dua dari kiri) bersama tiga pegawainya menunjukkan gambar individu yang dikehendaki.

Beliau berkata demikian selepas melawat ahli keluarga remaja dipercayai membuang bayi perempuan yang baharu dilahirkan di atas pasir di belakang rumahnya, Kampung Geliga, Chukai di sini pada 1 April lepas.

Hanyan berkata, diharap dengan langkah yang diambil selain kerjasama diberikan oleh masyarakat setempat, kesemua individu dikehendaki berjaya ditahan dan dikenakan hukuman setimpal seperti diperuntukkan atas kesalahan dilakukan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihaknya yakin sasaran mencari kesemua baki individu dikehendaki akan berhasil sebelum Syawal nanti.

"Kini polis sudah menerima panggilan orang awam terutama daripada ahli keluarga terdekat yang menyalurkan maklumat mengenai individu dikehendaki.

"Polis sedang menunggu masa sesuai untuk turun padang menangkap mereka yang dipercayai majoritinya adalah penagih baharu. Kami juga yakin hasil maklumat diterima, masih ramai dalam kalangan mereka berada di daerah ini," katanya.