KAPB dakwa berlaku kesilapan dalam pencetakan risalah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Koperasi Amanah Pelaburan Bhd (KAPB) menjelaskan pihaknya secara tidak sengaja telah mengedarkan versi risalah dengan maklumat kurang tepat disebabkan oleh kesilapan dalam percetakan yang mendakwa Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah memberi jaminan kepada pelaburannya.

"Pihak kami baru-baru ini mengedarkan risalah menerusi cawangan-cawangan Pos Malaysia untuk meningkatkan pengetahuan umum tentang perkhidmatan kami dan berkongsi maklumat dengan sesiapa yang berminat untuk melabur dengan kami.

"Berikutan itu, kami mengambil perhatian mengenai perkara dibangkitkan oleh SKM mengenai risalah tersebut khususnya ketidaktepatan maklumat yang menyatakan SKM telah memberi jaminan dan pengesahan kepada pelaburan itu,” kata Pengarah KAPB, Datuk Helmi Ilyas dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, KAPB ingin menjelaskan bahawa pihaknya telah secara tidak sengaja mengedarkan versi risalah yang mengandungi maklumat kurang tepat disebabkan oleh kesilapan dalam percetakan dan kini dalam proses untuk menggantikan risalah tersebut dengan versi yang lebih tepat dan betul.

"Kami ingin memohon maaf di atas kesulitan atau kekeliruan yang mungkin dihadapi orang ramai berikutan kesilapan teknikal di pihak kami,” katanya.

Pada 11 Februari 2019, SKM menafikan memberi sebarang jaminan atau pengesahan kepada pelaburan oleh orang ramai dalam KAPB atau mana-mana koperasi.

Dalam satu kenyataan hari ini, SKM berkata ia ​​​​sedia maklum dengan tindakan KAPB menggunakan Pos Malaysia bagi tujuan pengambilan anggota baharu serta membuat pelaburan dalam koperasi tersebut.

Maklumat pelaburan dalam bentuk risalah itu telah diletakkan di pejabat-pejabat Pos Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Semakan suruhanjaya di pejabat Pos Malaysia di TESCO Kajang dan Pos Malaysia Klang pada 1 Februari 2019 telah menemui risalah tersebut.

"Suruhanjaya dengan ini menafikan ada memberikan apa-apa jaminan atau pengesahan kepada pelaburan yang dibuat oleh orang ramai dalam Koperasi Amanah Pelaburan Bhd (atau mana-mana Koperasi).

"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk meneliti dan membuat penilaian sewajarnya sebelum melabur dan (tindakan) pelaburan itu adalah atas risiko sendiri,” katanya.

"Mereka yang mempunyai sebarang kemusykilan boleh menghubungi suruhanjaya itu dan pegawainya bagi mendapatkan penjelasan lanjut,” katanya. - Bernama