'Perbualan Zahid, Anwar ada motif politik tertentu'

Dr Mohd Puad Zarkashi
Dr Mohd Puad Zarkashi
A
A
A

SHAH ALAM - Rakaman perbualan di antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Ketua Pembangkang, Datuk seri Anwar Ibrahim yang tular di media sosial pada Selasa disifatkan mempunyai motif politik yang tertentu.

Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, rakaman tersebut pastinya bukan dilakukan oleh orang biasa memandangkan butiran perbualan itu adalah jelas dan berkualiti tinggi.

“Ia mesti menggunakan peralatan canggih yang orang biasa tidak akan mampu memilikinya.

“Apakah ini konspirasi at the highest level? Ini bukan kerja calang-calang,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Rabu.

Beliau berkata, darurat yang dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sepatutnya untuk mengurangkan permainan, namun sebaliknya semakin bermaharajalela.

“Sekali lagi kerajaan PN terselamat kerana Parlimen tidak bersidang untuk beri peluang kepada MP pembangkang bangkitkan isu ini.

“Sekurang kurangnya ahli Parlimen boleh desak supaya ditubuhkan RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja) dan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) menyiasat perkara serius ini untuk mencari keadilan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Zarkashi berkata, mana-mana pihak yang bertanggungjawab menularkan rakaman perbualan itu harus belajar dari kesilapan lampau.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, tindakan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Latheefa Koya yang dahulunya mendedahkan perbualan antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan Putera Mahkota UAE memberi impak kepada negara sehingga ke hari ini.

‘Hingga ke hari ini sejak 2018, UAE tidak lagi datang melabur di Malaysia. UAE melabur hampir RM130 bilion di Indonesia.

“Perdana Menteri tentu ada penjelasan kenapa balik tangan kosong dari lawatan ke UAE baru baru ini?” soalnya.

Sebelum itu, satu rakaman video dan audio didakwa mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar tular di media sosial pada Selasa.

Video tersebut dipercayai bermula dengan ucapan Ahmad Zahid ketika bercakap pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang menegaskan bahawa UMNO tidak akan menerima Anwar, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bagaimanapun, dalam video berdurasi empat minit 17 saat menerusi akaun Facebook Insider Malaysia itu, turut kedengaran suara dipercayai mirip dengan Anwar memuji ucapan Ahmad Zahid dalam PAU menerusi panggilan telefon.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakaman audio didakwa mirip suara Anwar-Ahmad Zahid tersebar

ARTIKEL BERKAITAN: Lembaga Disiplin UMNO kena siasat audio mirip Zahid-Anwar

ARTIKEL BERKAITAN: Zahid nafi perbualannya bersama Anwar