Lembaga Disiplin UMNO kena siasat audio mirip Zahid-Anwar

Sinar Harian sebelum ini melaporkan satu rakaman video dan audio didakwa mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar tular di media sosial pada Rabu. (Zakaria, Abdul Rahman, Abdul Aziz)
Sinar Harian sebelum ini melaporkan satu rakaman video dan audio didakwa mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar tular di media sosial pada Rabu. (Zakaria, Abdul Rahman, Abdul Aziz)
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Disiplin UMNO perlu menyiasat kebenaran rakaman audio perbualan telefon di antara individu dikaitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular di media sosial sejak malam Selasa.

Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah berkata, beliau mengakui sudah mendengar rakaman audio berkenaan dan tidak pasti sama ada ia tulen atau diada-adakan bagi tujuan tidak baik.

Bagaimanapun, Zakaria menegaskan jika rakaman audio tular itu benar, ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO lebih tahu apa keputusan terbaik yang sepatutnya dilakukan mereka.

"Saya tidak mahu mengeruhkan keadaan, tetapi perkara ini penting kepada masa hadapan perjuangan UMNO itu sendiri.

"Maka dengan itu, Lembaga Disiplin (UMNO) perlu menjalankan fungsinya untuk menyiasat kebenaran (rakaman audio perbualan tular)...Apatah lagi ia membabitkan presiden parti (Ahmad Zahid).

"Jika benar, parti (MKT) lebih tahu apa keputusan yang patut mereka buat," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas satu video dan audio mirip suara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim didedahkan di media sosial.

Video tersebut bermula dengan ucapan Ahmad Zahid ketika bercakap pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang menegaskan bahawa UMNO tidak akan menerima Anwar, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, dalam video berdurasi 4 minit 17 saat turut kedengaran suara yang mirip dengan Anwar memuji ucapan Ahmad Zahid dalam Perhimpunan Agung UMNO itu menerusi panggilan telefon.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid dalam satu kenyataan menafikan penglibatan beliau dengan rakaman audio perbualan telefon tular berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakaman audio didakwa mirip suara Anwar-Ahmad Zahid tersebar

Zahid nafi perbualannya bersama Anwar

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Abdul Rahman Bakri meminta Ahmad Zahid atau pejabat Presiden UMNO untuk membuat laporan polis dengan segera sebagai bukti penafian tuntas kaitan beliau dengan rakaman audio tular berkenaan.

Melalui laporan polis dibuat, Abdul Rahman mengharapkan rakaman audio itu akan diteliti pihak berkuasa dengan lebih mendalam bagi mengenal pasti dalang yang cuba menjejaskan nama baik Presiden dan UMNO sendiri.

"Lagipun inti pati rakaman perbualan telefon itu adalah sangat signifikan dengan hala tuju UMNO pada masa hadapan, lebih-lebih lagi pada saat parti berdepan cabaran untuk menawan kembali hati rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Saya masih berpegang kepada keputusan diambil parti sewaktu PAU 2020 iaitu semua pemimpin UMNO berjawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu letak jawatan berdasarkan ketetapan yang bakal diambil MKT.

"Cuma, bila isu rakaman audio tular sebegini muncul, saya minta MKT perlu meneliti semula dasar parti sewaktu PAU 2020 iaitu 'No Anwar, No DAP, No Bersatu' agar ianya akan terus kekal menjadi pendirian UMNO sehingga satu ketetapan baharu dibuat," katanya.

Dalam pada itu, pemangku Ketua UMNO Bahagian Jeli, Datuk Abdul Aziz Derashid mengajak semua ahli UMNO bersabar dan tidak terus berasa gusar kerana isu penularan audio rakaman perbualan membabitkan presiden parti masih belum disahkan ketulenannya.

Jelas beliau, lebih baik ahli-ahli UMNO menerima penjelasan yang disampaikan oleh Ahmad Zahid sendiri daripada terus bersikap curiga kepada pucuk kepimpinan parti kerana perbuatan tuduh-menuduh adalah tidak wajar.

"Zaman sekarang ini, macam-macam boleh jadi. Video seks mirip seorang menteri kanan pun sampai sekarang tidak selesai lagi, sedangkan imej beliau jelas kelihatan.

"Saya rasa apa patut Presiden UMNO buat adalah dengan memberi penjelasan apa sebenarnya berlaku (berhubung isu rakaman audio tular). Kena berterus-terang...Kalau tiada, cakap tiada.

"Tetapi, kalau betul ada, satu tindakan susulan termasuk hukuman disiplin perlu dilaksanakan kepada Presiden UMNO kerana beliau juga tidak boleh terlepas," katanya.