Dua lelaki menyamar pegawai Imigresen didakwa rasuah

Sufian (depan, kiri) dan Shahrul (dua dari kanan) diiring SPRM untuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu.
Sufian (depan, kiri) dan Shahrul (dua dari kanan) diiring SPRM untuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu atas pertuduhan menipu dengan menyamar sebagai pegawai Imigresen untuk menerima rasuah RM500 daripada majikan warga asing lima tahun lalu.

Tertuduh Sufian Hadi Mohamad, 43, yang hadir ke mahkamah dengan bertongkat didenda RM6,000 oleh Hakim Madihah Harullah selepas membuat pengakuan bersalah.

Dia yang tidak bekerja turut berdepan hukuman penjara 10 bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Shahrul Abdul Manap, 42, pula yang merupakan pembantu awam di Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah menipu seorang lelaki warga Pakistan, Saifullah Sher Aziz untuk mempercayai bahawa tertuduh merupakan seorang pegawai Imigresen dengan mendorongnya untuk memberikan wang tunai RM500.

Wang tersebut sebagai dorongan untuk tertuduh tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang pekerja Saifullah yang juga warga Pakistan atas kesalahannya menggunakan permit kerja ladang untuk bekerja di kedai perabot.

Kesalahan itu dilakukan pada 19 Februari 2016, lebih kurang jam 5.50 petang di tempat letak kereta Medan Selera Pasar Raya Mydin Seremban 2.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan dibaca dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah menetapkan jaminan RM7,000 terhadap Shahrul dan sebutan semula kes pada 24 Mei depan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali.