Bomba bawa turun tiga pendaki wanita cedera

Pasukan bomba yang terlibat dalam operasi membawa turun tiga pendaki wanita yang cedera di Gunung Nuang pada Selasa.
Pasukan bomba yang terlibat dalam operasi membawa turun tiga pendaki wanita yang cedera di Gunung Nuang pada Selasa.
A
A
A

HULU LANGAT - Tiga wanita yang mengalami kecederaan sewaktu mendaki Gunung Nuang, di sini terpaksa mendapatkan bantuan bomba untuk dibawa turun.

Mangsa terdiri daripada Amal Nur Izzah Syamsul Fauzy, 21, yang terseliuh pada pergelangan kaki sementara Siti Shakira Samaludin, 25, dan Nurul Izatul Ain Wan Ahmad, 25, mengalami kekejangan otot.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, panggilan kecemasan diterima jam 6.34 petang Selasa sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelemat Bandar Tun Hussein Onn ke lokasi kejadian.

Menurutnya, seramai 38 peserta mengikuti pendakian tersebut sebelum dipecahkan kepada dua kumpulan kecil selepas salah seorang daripadanya cedera di pergelangan kaki.

"Semasa meneruskan perjalanan, dua lagi peserta turut mengalami kekejangan di kaki.

"Mereka yang cedera bersama lapan peserta diarahkan berkumpul di Kem Lolo untuk tindakan menyelamat oleh JBPM.

"Sementara peserta lain selamat sampai ke kem utama," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Katanya, ketiga-tiga mangsa berjaya dibawa turun secara berperingkat bermula jam 5.23 pagi dan terakhir pada 6.09 pagi pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

"Satu pasukan penyelamat bergerak ke Kem Lolo untuk membawa turun mangsa sementara pasukan bantuan dari unit khas berfungsi sebagai unit bantuan logistik.

"Mangsa pertama yang berjaya dibawa turun adalah Nurul Izatul Ain pada jam 5.23 pagi diikuti Amal Nur Izzah (6 pagi) dan terakhir Siti Shakira 6.09 pagi. Operasi sepenuhnya jam 6.30 pagi," katanya.