Bersatu, Pas bincang pembahagian kerusi PRU Jumaat ini

Ahmad Faizal (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Sarjan Norihan Tari yang cedera parah dalam insiden tembakan dengan kumpulan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand, tahun lalu sempena penyampaian sumbangan kepada warga Batalion 3 PGA di Mes Pegawai Kanan Batalion 3 PGA Bidor, Tapah pada Rabu.
Ahmad Faizal (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Sarjan Norihan Tari yang cedera parah dalam insiden tembakan dengan kumpulan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand, tahun lalu sempena penyampaian sumbangan kepada warga Batalion 3 PGA di Mes Pegawai Kanan Batalion 3 PGA Bidor, Tapah pada Rabu.
A
A
A

TAPAH - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas akan mengadakan pertemuan pada Jumaat ini bagi membincangkan pembahagian kerusi pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, mesyuarat berkenaan akan diwakili beliau sendiri daripada Bersatu sementara Pas diwakili Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

"Di peringkat pusat memang kita dah ada jawatankuasa dan dalam perjumpaan sebelum ini pun, kita dah selesaikan lebih 20 peratus daripada jumlah 222 kerusi Parlimen yang ada.

"Jadi pada perjumpaan 9 April nanti, kami akan duduk semeja untuk membincangkan lebih lanjut berhubung pembahagian kerusi itu antara Bersatu dan Pas," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada warga Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Mes Pegawai Kanan Batalion 3 PGA Bidor di sini pada Rabu.

Beliau berkata, jalinan kerjasama antara kedua-dua parti ke arah menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berjalan dengan sangat baik dan lancar.

"Usaha ini sedang kita lakukan dan saya amat berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan Pas bersama rakan komponen lain dalam Perikatan Nasional (PN)," katanya.

Mengulas pembahagian kerusi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak, Ahmad Faizal yang juga Ketua Bersatu Perak berkata, perkara itu masih dalam peringkat perbincangan.

Katanya, perkara yang pasti pembahagian kerusi itu hanya melibatkan Bersatu dan Pas sepertimana kenyataan bersama Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria yang dikeluarkan minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

"Patutnya ada rakan lain bersama tetapi kalau orang itu dah tak mahu bersama kita, apa boleh buat. Kita serahkan kepada rakyat sama ada mahukan penjajaran baharu atau mahukan kesepakatan sedia ada ini dikekalkan," katanya.

Pada 2 April lalu, Bersatu dan Pas di Perak bersetuju membentuk jawatankuasa manifesto bagi PN negeri Perak sebagai tanda kesepakatan menghadapi PRU15 secara bersama.

Kedua-dua parti itu juga telah mengenal pasti kerusi yang berpotensi untuk ditandingi di peringkat negeri.