NUJM lancar tabung khas bela petugas media terjejas Covid-19

Farah Marshita (kanan) mengiringi Shaik Ali Fikri (tengah) ketika pelancaran kempen 'Help Journos Re-skill, Enjoy Pop Meals' di Cyberjaya pada Rabu.
Farah Marshita (kanan) mengiringi Shaik Ali Fikri (tengah) ketika pelancaran kempen 'Help Journos Re-skill, Enjoy Pop Meals' di Cyberjaya pada Rabu.
A
A
A

CYBERJAYA - Bagi membela nasib wartawan serta bekas petugas media, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) dengan kerjasama Pop Meals melancarkan tabung khas pada Rabu.

Presiden NUJM, Farah Marshita Abdul Patah berkata, dilaporkan setakat ini lebih 3,000 petugas media hilang pekerjaan dan sumber pendapatan akibat penularan Covid-19.

Bukan itu sahaja katanya, NUJM sendiri kehilangan hampir 1,000 ahli daripada cawangan Utusan, The Star dan New Straits Times Press (NSTP) sejak 2019.

“Lebih menyedihkan apabila sehingga ke hari ini, masih ada bekas ahli kami gagal untuk mendapatkan pekerjaan dan terpaksa menggunakan duit simpanan.

“Mereka mempunyai pelbagai kemahiran dan kebolehan yang boleh dilatih semula, maka menjadi tanggungjawab NUJM untuk mengerakkan inisiatif ini,” katanya selepas pelancaran Kempen 'Help Journos Re-skill, Enjoy Pop Meals', di sini pada Rabu.

Hadir sama Setiausaha Agung NUJM, Chin Sung Chew.

Farah Marshita berkata, NUJM akan menganjurkan bengkel latihan semula bagi memastikan bekas petugas media dapat menceburi bidang baharu selain memperluaskan kemahiran mereka.

Menurutnya, di peringkat permulaan, NUJM menyasarkan seramai 400 bekas petugas media untuk menjalani latihan itu yang akan diadakan tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, NUJM berjaya mendapat sumbangan daripada pelbagai pihak, maka iniasitif ini akan diteruskan sehingga tiada lagi bekas petugas media yang menganggur.

Sementara itu, Pengurus Besar Operasi Pop Meals, Shaik Ali Fikri Bajunid berkata, kerjasama ini merupakan sebahagian daripada usahanya untuk membantu petugas media yang selama ini banyak membantu usahawan dan masyarakat.

"Kita tahu NUJM mahu melatih semula petugas media dan Pop Meals merasa mereka adalah rakan kongsi yang baik dalam menjayakan usaha ini.

“Bagi menjayakan hasrat itu, Pop Meals menyumbangkan wang tunai sebanyak RM5,000 selain potongan RM10 kepada petugas media bagi pembelian Pop Meals sama ada di kiosk atau menerusi aplikasi dalam talian,” katanya.