Rakyat lihat wujud dua kluster dalam UMNO: Penganalisis politik

Mujibu Abd Muis
Mujibu Abd Muis
A
A
A

SHAH ALAM - Penganalisis politik menyifatkan keadaan yang berlaku dalam UMNO ketika ini sudah jelas menunjukkan bahawa krisis kepimpinan sedang melanda parti berkenaan.

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, malah rakyat sendiri melihat seperti wujud 'dua kluster' dalam UMNO.

"Persoalan jelas, apabila (krisis dalam parti) ini berlaku sudah mengambarkan apa sebenarnya yang berlaku dalam UMNO.

"Katakanlah, nafi apa sekali pun, yang jelas kita menyaksikan seolah-olah memang wujud dua kluster itu, kluster mahkamah dan juga kluster menteri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-245 bertajuk ‘Rasional Pemilihan UMNO Selepas PRU15' disiarkan menerusi dalam talian di Facebook Sinar Harian pada Selasa.

Wacana turut menampilkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Exco Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin juga sebagai panelis, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Dalam pada itu, Mujibu berkata, konflik yang sedang berlaku dalam UMNO bukanlah sesuatu yang serius sehingga boleh meruntuhkan parti tersebut kerana jelas setiap ahli memikirkan kepentingan UMNO itu sendiri berbanding kepentingan masing-masing.

Menurutnya, persoalan pokok yang perlu dilihat dalam konteks itu sebenarnya bukanlah pemilihan UMNO itu sendiri namun boleh dikatakan masalah UMNO adalah disebabkan kepimpinan.

Artikel Berkaitan:

"Apakah ada opsyen selain pemilihan, saya rasa ada. Kita masih boleh mengekalkan kepimpinan yang ada.

"Tetapi barangkali tradisi untuk melantik Presiden UMNO sebagai Perdana Menteri itu boleh dikaji kerana kalau kita sentuh krisis kepimpinan UMNO, permasalahnnya adalah keyakinan terhadap mereka. Mereka yang berada di atas UMNO itu dalam konteks mereka ini masih lagi dilihat mewakili rejim lama UMNO.

"Kalau diperhatikan peringkat rakyat biasa atau bukan UMNO, mahu melihat sesuatu (iaitu) UMNO yang baharu dan segar," katanya.

Sebagai contoh, katanya, apakah UMNO tidak boleh menamakan perdana menterinya orang lain berbanding menjadikan tradisi presiden parti itu menjadi Perdana Menteri sebagai satu tradisi yang diteruskan.

"Saya lihat pada ketika ini, UMNO tidak boleh bercakap seperti begitu kerana UMNO sudah berhadapan dengan suatu suasana yang berbeza dengan kehilangan kuasa dan pada ketika ini.

"Kalaulah kita kata UMNO bertanding secara bersendirian sebagai Barisan Nasional (BN), saya yakin (parti itu) tidak mampu membentuk kerajaan melainkan BN mempunyai formula tertentu untuk menarik parti-parti dari Sabah Sarawak atau mencari regu baharu dalam konteks Semenanjung.

"Setelah apa yang UMNO lakukan terhadap kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) yang bagi saya satu peluang yang baik ketika itu kerana penyatuan Melayu ini sekurang kurangnya memberikan satu momentum baik buat UMNO untuk kembali berkuasa tetapi ini tidak berlaku dan nampaknya UMNO seolah olah sudah berkerat rotan, berpatah arang," katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah keputusan UMNO untuk tidak bersama PN akan 'membunuh' atau menguntungkan parti itu, beliau berkata, ada dua perspektif yang boleh dilihat daripada perspektif itu.

"Satu kenyataan yang jelas adalah dalam konteks pilihan raya agak sukar untuk mana mana parti memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) secara bersendirian

"Apatah lagi dengan landskap demografi pengundi yang semakin membesar, dengan kita akan berhadapan dengan satu lagi generasi pengundi yang baharu kalau Undi 18 juga dibenarkan maka perkara perkara itu harus diperhatikan.

"Kita balik kepada persoalan asas dalam politik Malaysia, agak sukar bagi mana mana parti untuk memenangi PRU secara bersendirian," katanya.

Dalam konteks UMNO katanya, parti itu mungkin boleh menang di kerusi-kerusi tradisi yang ditandingi dan dimenangi oleh calon parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).