Pembangunan luar bandar diperkasa

Abd Latiff (duduk, lima dari kanan) bergambar bersama tetamu kenamaan lain sebelum memulakan mesyuarat penyelarasan antara MEXCLUB pada Isnin.
Abd Latiff (duduk, lima dari kanan) bergambar bersama tetamu kenamaan lain sebelum memulakan mesyuarat penyelarasan antara MEXCLUB pada Isnin.
A
A
A

BANGI - Mesyuarat penyelarasan antara Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Exco Luar Bandar (MEXCLUB) akan dijadikan sebagai platform mekanisme libat urus antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, langkah itu diambil bagi memperkasakan lagi pembangunan luar bandar serta membincangkan isu berkaitan.

“Mesyuarat berjaya meningkatkan persefahaman dan kerjasama di antara kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dengan kerajaan negeri khususnya dalam pelaksanaan program dan projek pembangunan luar bandar.

“Inisiatif ini juga menunjukkan komitmen kerajaan Persekutuan dalam membangun dan memajukan masyarakat luar bandar melalui kementerian ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai mempengerusikan mesyuarat penyelarasan antara MEXCLUB 1/2021 MEXCLUB di salah sebuah hotel di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Abd Latiff berkata, selain berfungsi sebagai forum bagi menyelesaikan pelbagai isu atau masalah dalam pelaksanaan projek, MEXCLUB juga turut berperanan bagi mempercepatkan pembangunan kawasan luar bandar.

Katanya, KPLB juga memberi fokus kepada penyelesaian isu melibatkan projek dan program pembangunan luar bandar di seluruh negara dengan kerjasama kerajaan negeri supaya pembangunan berada pada landasan yang betul menjelang 2030.

Menurut Abd Latiff, ia termasuk perancangan pelaksanaan projek baharu kementerian itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam majlis sama, KPLB turut melancarkan Pertandingan Komuniti Zon Hijau Covid-19 (kategori luar bandar) sebagai usaha dalam memperkasakan komuniti bagi memerangi pandemik itu.

Katanya, pertandingan itu dijalankan dalam dua kategori berasingan iaitu kawasan bandar dan luar bandar dengan menawarkan hadiah sehingga RM50,000 dalam bentuk geran pembangunan kepada setiap pemenang.

“Pertandingan terbuka kepada dua kategori iaitu kategori Kampung Tradisional dan Rumah Panjang di bawah pentadbiran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan kategori Kampung Orang Asli di bawah pentadbiran Jabatan Pembangunan Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA).

“Pencalonan kampung tradisional dan Rumah Panjang akan dikemukakan oleh kerajaan negeri, manakala kampung Orang Asli akan dikemukakan oleh JAKOA,” katanya.

Menurut Abd Latiff, setiap kampung dikehendaki menyediakan dokumentasi lengkap dalam bentuk laporan bergambar sebagai bukti pelaksanaan aktiviti yang dianjurkan oleh kampung sepanjang tempoh penilaian pertandingan.

“Tempoh pelaksanaan pertandingan adalah selama enam bulan bermula April sehingga September ini,” katanya.

Tambahnya, komitmen dan kerjasama semua pihak di peringkat pelaksanaan adalah diharapkan bagi menjayakan pelaksanaan pertandingan ini dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 di peringkat akar umbi.