Di mana pemimpin besar kita?

No Image Caption
A
A
A

SAYA kerap ke restoran mamak berhampiran rumah untuk berehat sambil menghirup teh tarik. Lazimnya saya akan ke restoran dengan anak lelaki sulung saya, Hilman atau bersendirian.

Kelmarin, niat saya untuk minum sendirian terbantut apabila disapa oleh dua orang jiran, Edy dan abang Jay. Edy menarik kerusi di sebelahnya sebagai isyarat mempelawa saya duduk bersama. Sambil duduk dan membuat pesanan minuman, saya bertanya mereka, apa yang dibualkan.

Kedua-duanya gelak dan menjawab serentak. Politik! Edy dan abang Jay memang aktivis akar umbi sebuah parti politik. Namun, kedua-duanya mengaku tidak aktif kecuali menjadi pengundi PRU nanti. Sebabnya, mereka tidak nampak ke manakah arah perjuangan dan masa depan negara yang pemimpin mereka hendak bawa.

Boleh dikatakan tiada pemimpin lagi yang sekurang-kurangnya bercakap tentang nasib dan masa depan bangsa. Yang memerintah asyik berfikir tentang krisis Covid-19 yang semasa. Yang tidak memerintah asyik hendak berebut pemerintahan. Kalau ada pun, mereka bercakap mengenai masa depan ialah ketika Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyentuh mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Kenyataan mengenai wawasan itu tidak mendapat respons menyeluruh dan dibicarakan secara massa seperti kita bercakap mengenai Wawasan 2020 atau Dasar Ekonomi Baharu. Puncanya? Pemimpin politik kita hanya berfikir sejauh Ogos 2021 dengan mengharap darurat akan ditamatkan dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) segera diadakan.

Kita mengeluh bila hanya pemimpin politik lantang bersuara hingga memenuhi halaman dan skrin media massa. Namun, pernahkah kita bertanya ke manakah perginya pemimpin dalam bidang lain? Pemimpin agama kita, maaf cakap hanya mengulas apa yang telah berlaku atau melangkaui ke zaman akhirat. Bagaimana pula masa depan umat di dunia? Betapa sesatnya dunia yang akan membobrok anak cucu kita. Berapa ramai antara mereka menyedarkan kita tentang ilmu akhir zaman?

Di mana pula pemimpin kita dari segi ekonomi? Barangkali kita menganggap tokoh-tokoh jutawan yang terkenal itu pemimpin juga tetapi apa ilmu yang mereka sampaikan kepada kita yang marhaen ini agar dapat hidup selesa dan sejahtera di zaman penuh pancaroba ini? Barangkali kita sahaja menganggap mereka sebagai tokoh tetapi mereka tidak anggap kita sebagai orang yang patut mereka pimpin. Mereka berada dalam kluster mereka tersendiri, jauh dalam kristal di menara gading masing-masing.

Dalam keadaan gejala rasuah berleluasa hari ini, di manakah suara pemimpin yang memerangi rasuah? Tindakan dilakukan kebanyakannya berbentuk reaktif apabila aduan dibuat dan melaksanakan tindakan undang-undang. Meskipun mereka menjalankan tugas tetapi itu belum memadai.

Hari ini kita membaca berita mengenai rasuah yang sudah jadi budaya di sesetengah jabatan dalam kementerian hingga wujud rangkaian kartel untuk menguasai proses pemberian tender kerajaan. Siapakah pemimpin yang bersuara menyatakan ini perbuatan salah?

Mana pemimpin bahasa yang memperjuangkan bahasa kita? Kita kian selesa mengagungkan bahasa Inggeris. Nama program dan kempen, apatah lagi nama kawasan perumahan sudah menggunakan bahasa Inggeris. Kini sudah tiada lagi sasterawan menggunakan mata pena untuk merobek hati mereka yang merosakkan agama dan bangsa.

Yang tinggal kekal berjuang ialah ustaz dan pemimpin kecil. Mereka berkhidmat memberi makan kepada fakir miskin, berkempen untuk membanteras rasuah, menurap jalan berlubang dan berperang dengan ah long. Cerita mereka menjadi tular kerana tiada lagi cerita lebih besar dibawa oleh pemimpin besar negara. Ke manakah para pemimpin berjiwa besar ini?

Artikel Berkaitan:

“Mereka ada tetapi jiwa mereka sudah mengecil!” ulas abang Jay.

*Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian