Kurang bijak PSM serang ASTAF

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

TINDAKAN Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) menuding jari terhadap Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) susulan hukuman penggantungan lima tahun kepada pengurus pasukan wanita ke Sukan SEA 2019, Wan Mohd Husni Abdullah sebagai kurang bijak.

Menurut Presiden Persatuan Sepak Takraw Perlis (PSTPs), Syed Araniri Syed Ahmad Al-Edroos, Wan Mohd Husni secara peribadi telah mengakui kesalahan yang dilakukan ketika aksi final regu lelaki membabitkan Malaysia dan Thailand melalui suratnya kepada ASTAF.

“Sudah terang lagi bersuluh, insiden dicetuskan Wan Mohd Husni dapat dibuktikan melalui rakaman video dan dikuatkan lagi dengan laporan ketua pengadil ASTAF di lokasi kejadian. Insiden itu turut disaksikan Presiden PSM (Datuk Seri Ahmad Ismail) yang berada di stadium. “PSTPs berpandangan insiden dicetuskan Wan Mohd Husni adalah kes peribadi yang tiada kaitan dengan PSM kerana melibatkan perlanggaran undang-undang sepak takraw. Amat wajar kes tersebut hanya melibatkan Wan Mohd Husni dan ASTAF tanpa penglibatan pihak ketiga.

“Tindakan yang dikenakan ASTAF kepada mana-mana pihak yang didapati bersalah melanggar undang-undang permainan sepak takraw lebih-lebih lagi ketika siaran langsung adalah perkara biasa dan tidak perlu dipertikai,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelas Syed Araniri, PSTPs juga menyifatkan tindakan Wan Mohd Husni selaku pengurus pasukan wanita negara ketika itu tiada kaitan langsung dengan skuad lelaki adalah sesuatu yang menimbulkan banyak tanda tanya.

“Amat pelik juga bila mana pengurus atau jurulatih pasukan lelaki tidak langsung mengemukakan bantahan sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil dalam tempoh sejam selepas tamat perlawanan.

“Tindakan Wan Mohd Husni itu jelas mencemar imej sepak takraw negara kerana belum pernah terjadi sebelum ini pengurus pasukan lelaki atau wanita negara masuk campur dalam urusan pasukan yang bukan di bawah kendalian pihaknya,” ujarnya.

Syed Araniri menegaskan, PSTPs juga berpandangan tindakan PSM yang berterusan mengkritik ASTAF akan mengundang tindakan tatatertib daripada badan induk sepak takraw Asia itu, sekali gus memberikan impak negatif terhadap imej dan maruah PSM.

Artikel Berkaitan:

“ASTAF tentu lebih arif dalam tindakan mereka menentukan bentuk hukuman kepada pegawai yang telah ternyata bersalah tanpa niat menganiayai mana-mana pihak.

“Apa jua hukuman dijatuhkan ASTAF diharap menjadi pengajaran kepada pegawai-pegawai pasukan pada masa depan agar lebih berhati-hati sebelum apa jua tindakan yang bakal dilakukan.

“Harus diingat bawa sebarang protes mestilah mengikut garis panduan yang ditetapkan dalam undang-undang permainan sepak takraw. Lebih tepat dikatakan bahawa sebarang tindakan beremosi akan hanya mengundang risiko yang berat,” ujarnya.

Menurutnya, sebarang tindakan dan arahan ASTAF seharusnya dipatuhi serta dihormati tanpa mempertikaikannya dengan alasan-alasan yang longgar dan tidak munasabah yang akhirnya akan memakan diri sendiri.

“Belajarlah menghormati pihak lain sekiranya PSM mahu terus dihormati dan usahlah memperbesarkan isu yang remeh temeh kerana ia bakal menambahkan lagi luka parah terhadap imej PSM.“Imej dan maruah sepak takraw negara telah pun tercemar bila mana tiada seorang pun wakil negara yang berjaya menjawat jawatan dalam badan induk ASTAF. PSM perlu muhasabah diri akibat kegagalan kepimpinan yang ada sekarang,” jelasnya.