Krisis Myanmar dibimbangi akan jadi lebih besar

Para penunjuk perasaan antirampasan kuasa melarikan diri ketika anggota-anggota pasukan keselamatan melakukan operasi menyuraikan mereka di Yangon pada Mac lalu. - Foto AFP
Para penunjuk perasaan antirampasan kuasa melarikan diri ketika anggota-anggota pasukan keselamatan melakukan operasi menyuraikan mereka di Yangon pada Mac lalu. - Foto AFP
A
A
A

KRISIS di Myanmar yang bermula dengan tunjuk perasaan antirampasan kuasa tentera sejak Februari lalu akan menjadi konflik yang lebih besar dengan campur tangan daripada beberapa buah kumpulan pemberontak etnik bersenjata di negara tersebut.

Konflik yang lebih besar itu mungkin berlaku berikutan kumpulan-kumpulan pemberontak tersebut sebelum ini telah menentang pihak tentera bagi mendapatkan hak autonomi di wilayah masing-masing.

Myanmar dihantui dengan kejadian tunjuk perasaan rakyat bagi membantah tindakan tentera melancarkan rampasan kuasa tentera bagi menggulingkan pemerintahan kerajaan awam dan menahan bekas Penasihat Negara, Aung San Suu Kyi pada 1 Februari lalu.

Bekas Presiden negara itu, Win Myint dan beberapa pemimpin parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) turut ditahan oleh pihak berkuasa negara itu selepas pihak tentera mendakwa berlaku penipuan dalam pilihan raya umum negara berkenaan pada November tahun lalu.

Dalam pilihan raya itu, parti NLD pimpinan Suu Kyi memperoleh kemenangan besar dan mengulangi kejayaan pada pilihan raya umum tahun 2015 sekali gus mampu membentuk sebuah kerajaan awam bagi mentadbir negara berkenaan untuk tempoh lima tahun lagi.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Kesatuan Pilihan raya Myanmar menafikan dakwaan pihak tentera bahawa terdapat 8.6 juta pengundi yang meragukan di 314 kawasan perbandaran yang memungkinkan pengundi mengundi berulang kali dalam pilihan raya tersebut.

Pihak tentera atau juga dikenali sebagai Tatmadaw telah memerintah Myanmar sejak lima dekad sebelum berakhir pada tahun 2015 apabila pilihan raya yang didakwa bebas dan adil diadakan buat pertama kali dan dimenangi oleh parti NLD.

Selepas penafian dibuat oleh Suruhanjaya Kesatuan Pilihan Raya itu, pihak tentera menangkap Suu Kyi dan Myint yang ketika itu masih memegang jawatan Presiden negara berkenaan serta beberapa pemimpin NLD lagi sebelum melancarkan rampasan kuasa tentera secara aman.

Artikel Berkaitan:

Menurut sebuah kumpulan pemantau tunjuk perasaan di negara berkenaan, lebih 550 orang terbunuh dalam tunjuk perasaan setelah pihak berkuasa bertindak keras menyuraikan para penunjuk perasaan dengan melepaskan tembakan ke arah mereka.

Kumpulan Kesatuan Kebangsaan Karen ialah sebuah kumpulan pemberontak separa tentera di Myanmar. - Foto AFP
Kumpulan Kesatuan Kebangsaan Karen ialah sebuah kumpulan pemberontak separa tentera di Myanmar. - Foto AFP

Beberapa buah kumpulan etnik di Myanmar yang mengawal sejumlah wilayah, kebanyakannya di sempadan negara berkenaan kemudiannya berasa berang dengan tindakan keras pihak berkuasa keselamatan negara berkenaan.

Pada Sabtu lalu, sebanyak 10 daripada kumpulan pemberontak bersenjata itu membincangkan keadaan di Myanmar secara maya dengan mengutuk tindakan junta tentera dan polis yang menggunakan peluru hidup ke atas para penunjuk perasaan aman.

"Para pemimpin majlis ketenteraan Myanmar perlu bertanggungjawab," kata Jeneral Yawd Serk yang merupakan pemimpin sebuah pasukan pertubuhan politik kumpulan etnik minoriti dikenali sebagai Majlis Pemulihan Negeri Shan (RCSS) dan pengasas Tentera Negeri Shan (SSA) yang menguasai sejumlah kawasan di bahagian timur negara tersebut.

Katanya, jika junta tentera terus melepaskan tembakan dan membunuh orang awam, ia bermakna bahawa pihak tentera telah menjadi pengganas di negara itu.

Beliau juga merangkap Pengerusi sebuah kumpulan yang mewakili 10 buah kumpulan bersenjata dalam Perjanjian Gencatan Senjata antara kerajaan negara tersebut dengan kumpulan-kumpulan pemberontak berkenaan yang diwujudkan sebagai usaha menstabilkan negara tersebut.

Mesyuarat secara maya kumpulan-kumpulan bersenjata itu juga diadakan selepas sebuah kumpulan pemberontak iaitu Kesatuan Kebangsaan Karen (KNU) merampas sebuah pangkalan tentera di negeri Kayin dan membunuh 10 orang anggota tentera pada 27 Mac lalu.

Bagaimanapun, pihak tentera kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan udara termasuk kempen pengeboman dari 27 Mac hingga 30 Mac lalu sehingga menyebabkan KNU mendakwa lebih 12,000 orang termasuk kanak-kanak hilang tempat tinggal di sempadan Myanmar dengan Thailand.

Kumpulan KNU itu adalah yang paling lantang menentang junta tentera dan mendakwa ia melindungi ratusan aktivis yang membantah rampasan kuasa yang dilakukan secara aman oleh Tatmadaw.

Menurut portal berita CNN, seorang pegawai kanan kumpulan pemberontak dan beberapa para penunjuk perasaan berkata, aktivis-aktivis prodemokrasi dalam jumlah yang kecil pergi ke hutan untuk menerima latihan pertempuran daripada anggota-anggota kumpulan pemberontak negara itu.

Seorang aktivis dilaporkan berkata kepada portal berita tersebut bahawa aktivis-aktivis demokrasi itu mempelajari tentang penggunaan senjata api dan cara-cara untuk menghasilkan bom.

Terdapat juga peningkatan panggilan daripada pusat bandar kepada kumpulan-kumpulan pemberontak etnik supaya ia melindungi orang awam daripada keganasan yang dilakukan oleh pihak tentera.

Tiga Perikatan Persaudaraan yang dianggotai oleh kumpulan pemberontak etnik bersenjata iaitu Tentera Arakan (AA), Tentera Pembebasan Kebangsaan Ta'ang dan Tentera Perikatan Demokratik Kebangsaan baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan menyertai revolusi menentang rampasan kuasa jika junta tentera tidak menghentikan pembunuhan orang awam.

Namun, pihak tentera berulang kali menyalahkan para penunjuk perasaan itu ekoran keganasan tersebut dan mempertahankan pasukan keselamatan yang didakwa menggunakan tindakan paling minimum dalam menyuraikan mereka.

Para penunjuk perasaan itu didakwa menggunakan beg-beg pasir, melepaskan tembakan dengan senjata buatan sendiri, melemparkan bom petrol menyebabkan pasukan keselamatan terpaksa menggunakan senjata api untuk menyuraikan mereka.

Selepas lebih 70 tahun terlibat dengan konflik dengan kumpulan-kumpulan pemberontak, negara berkenaan dibanjiri dengan senjata-senjata api yang mudah dibeli dalam pasaran gelap namun masih tiada bukti ia disimpan di bandar-bendar Myanmar.

Tentera Myanmar berjanji untuk memerintah selama setahun sahaja sebelum menyerahkan kuasa kepada sebuah kerajaan awam yang akan dipilih melalui satu pilihan raya umum di negara tersebut. - Agensi