Selangor FC 2 sedia gempur Sarawak United

Feichtenbeiner optimis pemain Selangor 2 akan bangkit selepas kekalahan kepada Perak II minggu lalu menjelang aksi menentang Sarawak United FC di Stadium Selayang pada Rabu. - Foto Selangor FC
Feichtenbeiner optimis pemain Selangor 2 akan bangkit selepas kekalahan kepada Perak II minggu lalu menjelang aksi menentang Sarawak United FC di Stadium Selayang pada Rabu. - Foto Selangor FC
A
A
A

SELANGOR FC 2 bertekad bangkit melakar kemenangan menjelang pertemuan menentang Sarawak United FC dalam aksi Liga Premier di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada Rabu.

Pengendalinya, Michael Feichtenbeiner berkata, dia mahu Selangor FC 2 kembali berada di landasan kemenangan selepas dikejutkan dengan kekalahan kepada Perak FC II di Stadium Perak, Ipoh pada Jumaat lalu.

"Saya harap pemain bangkit dalam perlawanan menentang Sarawak United nanti namun, bukanlah saya tidak gembira dengan prestasi pemain, mereka sudah membuktikan mereka bagus dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

"Cuma ketika menentang Perak FC II, kami tidak bernasib baik. Inilah bola sepak, apa juga boleh berlaku dan ia berlaku kepada kami.

"Jadi, kami perlu lakukan persiapan rapi sebelum bertemu Sarawak United," katanya.

Feichtenbeiner percaya moral dan semangat para pemainnya tidak pudar di sebalik kekalahan kepada Perak FC II bersandarkan aksi yang dipamerkan mereka di gelanggang lawan itu.

"Pemain saya mampu bangkit walaupun ketinggalan dan mereka cuba sehingga wisel penamat. Mereka tidak pernah menyerah kalah jika ketinggalan. Inilah mentaliti yang saya mahukan.

"Itu yang mereka perlu tunjukkan dalam setiap perlawanan jika mahu menjadi sebuah pasukan yang hebat. Kami akan belajar daripada kekalahan tersebut dan mengelakkan kesilapan sama berulang," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sebagai rekod, skuad kendalian Feichtenbeiner meraih tiga kemenangan dan dua kekalahan selepas mengharungi lima perlawanan Liga Premier musim ini.