AS$100 juta untuk Venezuela

John Bolton
A
A

CARACAS - VENEZUELA. Sebanyak 25 buah negara memberi jaminan bantuan berjumlah AS$100 juta (RM408 juta) untuk Venezuela, menurut pegawai tertinggi Amerika Syarikat (AS) kelmarin.

Venezuela dibelenggu inflasi melampau dan kekurangan keperluan asas ketika dua individu iaitu pemimpin pembangkang, Juan Guaido dan Presiden Nicolas Maduro bersaing untuk memimpin negara itu.

AS merupakan antara lebih 50 buah negara yang mengiktiraf Guaido sebagai presiden sementara tetapi Maduro yang disokong oleh Rusia, China dan beberapa buah negara lain, menolak untuk melepaskan jawatannya.

Penasihat keselamatan kebangsaan AS, John Bolton membuat pengumuman mengenai bantuan kepada Venezuela susulan persidangan Pertubuhan Negara-Negara Amerika (OAS) dalam membantu negara itu.

Menurut penyelaras kumpulan OAS bagi penghijrahan dan pelarian dari Venezuela, David Smolanksy, bantuan itu akan diberikan terus kepada pusat bantuan yang ditubuhkan di sempadan bersama Colombia-Brazil dan di Pulau Curacao.

Guaido dan Maduro bertegang lidah mengenai kebenaran masuk bantuan ke negara itu dan pihak tentera mempertingkatkan halangan kelmarin di sempadan dengan Colombia, di mana pemimpin pembangkang berikrar untuk membawa masuk keperluan yang benar-benar diperlukan. – AFP